Tag Archives: universiti

Universiti Kehidupan

Dia insan biasa. Bukan ustazah dan bukan juga seorang professor ternama. Bidangnya bukan ‘ulum syariah, bukan juga usuluddin. Tetapi jiwanya, jiwa besar, jiwa seorang dai’e yang mencintai jalan da’wah. Aku sangat kagum dengan kegigihannya untuk mendidik anak-anak sepertiku. Bukan senang melayan karenah kami yang pelbagai. Belum kira yang degil, tak mendengar kata. Di sebalik ketegasannya tersembunyi sifatnya yang penyayang kepada anak didiknya.

Banyak perkara baru yang aku belajar daripadanya. Aku lihat kesibukannya dengan tugas hakikinya sebagai pegawai perpustakaan kampus dan pegawai pembangunan pelajar tidak menghalang dia untuk tetap meluangkan masa bersama-sama dengan anak didiknya. Kerap kali perjumpaan kami diadakan pada subuh hujung minggu. Perjumpaan mingguan itu akan diisi dengan nasihat dan kata-kata semangat. Pada masa yang sama, jika ada kesempatan kami akan berkongsi masalah untuk diselesaikan bersama.

Aku juga melihat dia sebagai seorang yang mengajarkan aku tentang pentingnya menjaga keluarga walau macamana sibuk sekalipun kita. Atas faktor itu, dia mengambil keputusan untuk berpindah ke UiTM Jengka agar lebih mudah untuk dia berulang-alik untuk menjaga ibunya yang sudah lanjut usia. Aku berazam apabila tiba masa aku untuk berkerjaya nanti, aku juga ingin menjadi sepertinya, tetap menjaga kebajikan ibu bapa walau komitmen kerja menekan.

Bukan mudah menjadi individu sesibuk dia tetapi masih berusaha untuk membahagikan masa dengan baik. Daripadanya, aku belajar untuk menjadi orang yang sanggup berkorban besar demi mencapai cita-cita. Menghayati apa yang sering dimaksudkan dengan “No pain, no gain. No guts, no glory.” Mendengar kisahnya ketika zaman belajar hinggalah ke hari ini, menyuntik semangat aku untuk usaha bersungguh-sungguh sepertinya. Dia sangat aktif berprogram tetapi pada masa yang sama sangat bagus dalam akademik. Mendapat Anugerah Naib Canselor ketika graduasi.

Sebagai seorang pendidik, dia seorang yang tegas.

Sebagai seorang kakak, dia seorang yang penyayang.

Sebagai seorang pegawai, dia seorang yang komited dan amanah.

Sebagai seorang anak, dia seorang yang bertanggungjawab.

Sebagai seorang sahabat, dialah penasihat agar diri perbetulkan niat dalam bekerja.

Dia pernah kata, “Saya paling takut bila dengar orang kata nak jadi macam saya. Sebab saya pun banyak yang kurang. Tapi saya harap ‘anak buah’ saya semuanya jadilah lebih baik daripada saya.”

Dalam hati, aku tekad untuk mencontohinya dan usaha jadi lebih baik daripadanya kerana aku juga cinta akan Allah dan Rasul seperti mana dia. Semoga Allah memberkatinya sepanjang perjalanan hidup. Semoga berjaya dunia akhirat, ukht!

“Bon Voyage, ukht!” Harap kita akan bertemu lagi dan tetap bersatu atas jalan da’wah ini.

‘Ala kulli hal : Kembaralah ke seluruh bumi Allah, kita akan pelajari banyak perkara jika kita memerhati setiap peristiwa dengan akal dan hati. Lihatlah, perhatikan dengan teliti dan pelajarilah dari alam. Selamat datang ke Universiti Kehidupan! 🙂

(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?)
– [Surah al-Balad: 8]

 

University of Glasgow – where I’d like to further my studies. May Allah ease. 🙂