Tag Archives: ujian

HADIAH ALLAH DI HUJUNG JALAN

Hadiah Allah di Hujung Jalan

Hadiah Allah di Hujung Jalan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Satu semester telah berlalu, berbaki lagi dua semester untuk ditempuhi. Semester ini sangat bermakna bagi saya kerana saya belajar untuk mengeluarkan diri daripada zon selesa. Allah izinkan untuk saya menempuhi cabaran yang tidak pernah digambarkan sebelum ini. Menjadi pemimpin sememangnya bukan perkara mudah. Amanah yang dipikul akan dipersoalkan di akhirat nanti, adakah telah dilaksanakan dengan terbaik atau ala kadar sahaja? Ketika kebanyakan pelajar lain telah ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing, menikmati masa bersama keluarga, nampaknya saya masih di sini untuk melunaskan tanggungjawab yang berbaki bersama sahabat-sahabat seangkatan. Semoga Allah terima amal yang sedikit ini.

Antara perkara paling berharga yang saya dapati sepanjang semester ini ialah:

1. Seorang pemimpin itu mesti berani ke depan, mendominasi keadaan agar ianya selari dengan kehendak Tuhan.

2. Merendahkan diri tidak sekali-kali membuat dirimu rendah. Pemimpin itu perlu ada tawadhu’ terhadap ilmu yang dipelajari dan orang yang di bawah pimpinannya.

3. SABAR itu kunci kejayaan. Dengan sabar, akan terurailah segala hikmah ujian. SABAR itu kekuatan yang perlu ada pada setiap dai’e.

4. Apabila Allah ujikan kita dengan sesuatu, Dia juga akan kurniakan kita jalan keluarnya. Yakinlah dengan pertolonganNya.

5. Da’wah itu berdiri atas ikatan ukhwah. Ukhwah kerana Allah itu akan diuji ketulusannya. Ketika itu, cinta kepada Allah-lah yang akan menyelamatkannya daripada segala tipu daya syaitan.

 

Mencabar diri keluar dari zon selesa tentu sahaja menyakitkan. Tetapi melaluinya kita akan dapat bina kekuatan. Seperti mana proses terbentuknya batuan permata, yang memerlukan tekanan yang tinggi maka barulah akan terhasil batuan yang cantik berkilauan.

Ketika diri diuji dengan panjangnya jalan perjuangan, hampir sahaja futur (putus asa) di tengah jalan, Allah juga yang menjadi sumber kekuatan. Ujian Allah adalah hadiah yang paling berharga dari Khaliq, kerana dengannya kita akan dapat merasai kemanisan iman. Allah memberikan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang dikehendakiNya. Allah hadirkan ujian dan Dia juga yang menghadirkan pertolongan.

Selepas segala jerih payah mempelajari selok-belok kepimpinan, mempelajarinya dengan penuh kesakitan, Allah hadiahkan saya seorang teman, saudara dalam perjuangan. Kehadirannya sangat memberi kesan kepada saya. Kami berbeza dalam banyak perkara tetapi apa yang menyatukan kami adalah cinta kepada Allah dan Rasul. Perbezaan antara saya dengannya adalah rahmat Allah yang menjadikan kami sahabat yang saling melengkapi. Tidak tergambar akan rasa syukur di hati apabila menerima hadiah Ilahi ini.  Ukhwah ini adalah hadiah Allah yang sangat indah. Makbul akhirnya doa saya agar dihadirkan saudara penambah kekuatan sepertimana Allah kuatkan Musa ‘alayhissalam dengan menghadirkan Harun ‘alayhissalam sebagai saudaranya dalam perjuangan.

Namun, sebagai hamba Ilahi, sangat perlu untuk diri ini sedar bahawa cinta Allah itu perlulah sentiasa menjadi prioriti. Nombor satu dalam hati. Dan cinta kepada makhlukNya juga hanya kerana cinta seorang hamba kepada Tuhannya. 

 

DSCN1605

“Ya Allah, jadikan kami saudara dalam perjalanan panjang ini dan jadikan kami termasuk dalam golongan hamba yang Engkau cintai.” Amin.

 

APRIL 13, 2013
1749 HOURS
PUSAT ISLAM AT-TAQWA
UiTM KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN.
 

Kegilaan Dean’s List

Hari yang dinanti dengan penuh debaran telah pun tiba. 27 April 2012, laman sesawang portal pelajar UiTM tiba-tiba mengalami ‘kesesakan trafik’. Ada yang ‘hujan’ tak kurang juga yang senyumnya lebih bersinar dari sinaran mentari. Perkara pertama yang akan dilihat oleh seorang pelajar, tentunya baris-baris akhir slip keputusan. Dean’s List ataukah sebaliknya?

Syukur apabila menerima nikmat itu lumrah tetapi syukur apabila menerima ‘musibah’ itu kelihatannya agak payah. Kerana seringkali insan yang bernama pelajar ini lebih mudah ingat pada nikmat berbanding pada Pemberi nikmat. Namun, seorang HAMBA itu akan sentiasa bersyukur sama ada di hadapannya itu nikmat ataupun nikmat yang dilihatnya sebagai musibah.

Seandainya setiap daripada kita ini mampu melihat hidup ini dari kacamata seorang hamba, tentunya tiada lagi resah dan kecewa kerana tidak berjaya ‘memiliki’ apa yang sememangnya bukan milik kita. Seorang hamba itu sifatnya miskin sentiasa, sentiasa meminta-minta kepada Tuannya, dan tidak mampu memiliki walau harta yang sekecil-kecil debu sekalipun.

Anehnya hamba zaman millenium ini lebih tergila-gilakan ‘harta’ yang ‘dimiliki’ oleh seorang hamba yang lain. Meminta diberikan penganugerahan tanpa pernah merasa puas. Malah hamba zaman millenium ini juga seringkali tertipu dengan kekayaan yang terzahir di depan matanya. Sedangkan dia tahu bahawa itu semua fatamorgana belaka. Alangkah jahil dan ruginya si hamba apabila meminta pada yang miskin tentulah tidak akan memperoleh apapun melainkan  cacian semata, kalau adapun habuan hanya yang bersifat sementara sahaja.  Sehingga telapak tangan itu dibolak-balikkan lantaran sedih yang tak terhingga tidak memperoleh harta yang diimpikan. Sedangkan Yang Maha Kaya sentiasa menanti-nanti bilakah si hamba yang miskin ini ingin meminta kepadaNya.

Dialah yang Maha Kaya bukan kerana segunung emas yang dimilikiNya tetapi Dia itu Maha Kaya – AlGhaniyy sifatnya kerana Dia langsung tidak berkehendakkan hamba-hambaNya sedangkan hamba-hambaNya lah yang memerlukan Dia setiap waktu. Alangkah ruginya bagi insan yang bernama pelajar itu dalam kesibukannya mengejar Dean’s List, dia terlupa ada lagi satu senarai yang sepatutnya dia kejarkan agar di dalam ‘senarai’ itu tertulis namanya. Ia adalah Allah’s List. Terdapat dalam satu hadith yang masyhur;

Sabda Rasulullah SAW : Bila Allah mencintai seorang hamba, maka Allah berseru kepada Jibril: “Sesungguhnya Allah mencintai Fulan, maka cintailah dia.” Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril berseru kepada penghuni langit: ”Sesungguhnya Allah mencintai Fulan, maka kalian cintailah dia.” Penghuni langitpun mencintainya. Kemudian ditanamkanlah cinta penghuni bumi kepadanya.”

(HR Bukhari 5580)

Tidakkah si hamba itu mengetahui bahawa segala makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa bertasbih dan mendoakan hamba-hamba yang akrab dengan majlis ilmu? Dan tidakkah si hamba itu mengetahui terdapat satu hadith yang menyebutkan kelebihan orang yang berusaha menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh itu akan dipermudahkan baginya satu jalan ke syurga? Bayangkan berapa luas jalan ke syurga yang telah dipermudahkan bagi si hamba setiap kali si hamba itu melangkah ke kuliah ilmu.

Tidakkah si hamba itu juga mengetahui bahawa di sebalik setiap kesusahan itu pasti adanya kejayaan? Tidakkah si hamba itu mentadabbur ayat-ayat cinta yang Maha Kaya dalam Surah Al-Insyirah? Dalam tafsiran surah itu membawa maksud bahawa nisbah 1 ujian atau kesukaran itu bersamaan dengan 2 kesenangan dan kejayaan. Tidakkah si hamba zaman millenium itu memahami yang sebenarnya jika Dia ‘menarik’ sesuatu lalu menguji hambaNya dengan satu ujian, tandanya Dia begitu menyayangi hambaNya yang terpilih itu. Kerana dalam ujian itu, pasti akan adanya kejayaan yang lebih besar, hebat dan tidak tergambar oleh hambaNya itu.

Lalu tidakkah si hamba itu mahu bersujud syukur kepadaNya atas rahmat yang tidak terhingga itu? Awal-awal lagi Dia telah memberi isyarat kepada hambaNya seolah-olah ingin mengatakan: “Bersedialah kamu. Sesungguhnya ada kejayaan yang sangat gemilang sedang menantimu di hadapan…”

Orang yang bersyukur sentiasa malu untuk ‘dimiliki’ selain oleh Allah. Apabila manusia tidak merasakan memiliki dan dimiliki, hatinya subur dengan syukur. Itulah kemuncak ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Ingat Pemberi Nikmat bukan hanya nikmat-Nya.

 -[Solusi Isu No. 43]

Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi berada dalam genggamanNya.  Bersyukurlah, bersyukurlah dan bersyukurlah kerana di situ terdapat kebahagiaan yang didamba-dambakan oleh setiap insan.