Tag Archives: sabar

HADIAH ALLAH DI HUJUNG JALAN

Hadiah Allah di Hujung Jalan

Hadiah Allah di Hujung Jalan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Satu semester telah berlalu, berbaki lagi dua semester untuk ditempuhi. Semester ini sangat bermakna bagi saya kerana saya belajar untuk mengeluarkan diri daripada zon selesa. Allah izinkan untuk saya menempuhi cabaran yang tidak pernah digambarkan sebelum ini. Menjadi pemimpin sememangnya bukan perkara mudah. Amanah yang dipikul akan dipersoalkan di akhirat nanti, adakah telah dilaksanakan dengan terbaik atau ala kadar sahaja? Ketika kebanyakan pelajar lain telah ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing, menikmati masa bersama keluarga, nampaknya saya masih di sini untuk melunaskan tanggungjawab yang berbaki bersama sahabat-sahabat seangkatan. Semoga Allah terima amal yang sedikit ini.

Antara perkara paling berharga yang saya dapati sepanjang semester ini ialah:

1. Seorang pemimpin itu mesti berani ke depan, mendominasi keadaan agar ianya selari dengan kehendak Tuhan.

2. Merendahkan diri tidak sekali-kali membuat dirimu rendah. Pemimpin itu perlu ada tawadhu’ terhadap ilmu yang dipelajari dan orang yang di bawah pimpinannya.

3. SABAR itu kunci kejayaan. Dengan sabar, akan terurailah segala hikmah ujian. SABAR itu kekuatan yang perlu ada pada setiap dai’e.

4. Apabila Allah ujikan kita dengan sesuatu, Dia juga akan kurniakan kita jalan keluarnya. Yakinlah dengan pertolonganNya.

5. Da’wah itu berdiri atas ikatan ukhwah. Ukhwah kerana Allah itu akan diuji ketulusannya. Ketika itu, cinta kepada Allah-lah yang akan menyelamatkannya daripada segala tipu daya syaitan.

 

Mencabar diri keluar dari zon selesa tentu sahaja menyakitkan. Tetapi melaluinya kita akan dapat bina kekuatan. Seperti mana proses terbentuknya batuan permata, yang memerlukan tekanan yang tinggi maka barulah akan terhasil batuan yang cantik berkilauan.

Ketika diri diuji dengan panjangnya jalan perjuangan, hampir sahaja futur (putus asa) di tengah jalan, Allah juga yang menjadi sumber kekuatan. Ujian Allah adalah hadiah yang paling berharga dari Khaliq, kerana dengannya kita akan dapat merasai kemanisan iman. Allah memberikan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang dikehendakiNya. Allah hadirkan ujian dan Dia juga yang menghadirkan pertolongan.

Selepas segala jerih payah mempelajari selok-belok kepimpinan, mempelajarinya dengan penuh kesakitan, Allah hadiahkan saya seorang teman, saudara dalam perjuangan. Kehadirannya sangat memberi kesan kepada saya. Kami berbeza dalam banyak perkara tetapi apa yang menyatukan kami adalah cinta kepada Allah dan Rasul. Perbezaan antara saya dengannya adalah rahmat Allah yang menjadikan kami sahabat yang saling melengkapi. Tidak tergambar akan rasa syukur di hati apabila menerima hadiah Ilahi ini.  Ukhwah ini adalah hadiah Allah yang sangat indah. Makbul akhirnya doa saya agar dihadirkan saudara penambah kekuatan sepertimana Allah kuatkan Musa ‘alayhissalam dengan menghadirkan Harun ‘alayhissalam sebagai saudaranya dalam perjuangan.

Namun, sebagai hamba Ilahi, sangat perlu untuk diri ini sedar bahawa cinta Allah itu perlulah sentiasa menjadi prioriti. Nombor satu dalam hati. Dan cinta kepada makhlukNya juga hanya kerana cinta seorang hamba kepada Tuhannya. 

 

DSCN1605

“Ya Allah, jadikan kami saudara dalam perjalanan panjang ini dan jadikan kami termasuk dalam golongan hamba yang Engkau cintai.” Amin.

 

APRIL 13, 2013
1749 HOURS
PUSAT ISLAM AT-TAQWA
UiTM KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN.