Tag Archives: islam

Penyakit Orang ‘Tabligh’

Post ini ditulis bukan untuk ‘menaikkan darah’ sesiapa, bukan juga untuk memandang rendah mana-mana pihak tetapi jika ada yang terasa, memang patut pun terasa kerana kadangkala seorang dai’e itu memang perlu akan tepuk tampar agar dia tersedar dari lenanya.

Tepuk tampar itu adakalanya perlu bagi menyedarkan para dai’e dari lenanya.

Credits

“Assalamu’alaikum, bro! Lama tak nampak? Apa kau buat kat sini?”

“What’s up, bro! Lama siot tak jumpa! Apa cer, dowh?! Aku jalan beli buku ni haa.. (sambil menunjuk beg plastik MPH yang dijinjit)”

“Oh..aku bawa adik aku jalan-jalan. Dia kata nak cari buku. Puas aku tunggu berjam, ntah mana ntah dia. Buku apa kau beli tu?”

“Ni saje nak cari buku motivasi sket…”

“Aii..amende ni, bro? Siap ayat Bible bagai dalam ni? Kau baca buku macam ni? (nada sarkastik)”

“Ha..kenapa? Tak boleh? Buku ni baguslah..senang nak faham. Dia ajar kita ‘how to manage our life’.”

“Hey,bro..mana boleh baca buku macam ni..kau ni dah ‘converted’ ke apa? Ni ayat-ayat Bible ni..Tak cukup ke Quran untuk kita?”

“Hey, hey..relaks dulu, bro..Kau dah buang tabiat ke? Takkan baca buku macam ni pun kau nak kata aku dah ‘converted’. Aku waras lagi lah..Aku baca buku ni sebab bahasa dia mudah nak faham. Penerangan dia ‘simple’. Bukannya aku dah ‘converted’ ke apa. Memanglah dalam Quran tu semua ada, tapi baca terjemahan dia macam tu je, boleh faham ke? Quran tu bahasa dia tinggi. Baca terjemahan pun belum tentu faham.”

“Eh, kau ni aku ‘bagi’ karang! (Sambil menggenggam buku lima) Kau gila?!”

“Macam ni, kawan? Kau ni nama je ‘tabligh’…perangai!! Huh! (nada bengang)”

***

Apa yang cuba digambarkan di sini ialah sikap para dai’e muda yang terburu-buru dalam menyampaikan. Saya mungkin bukanlah orang yang paling layak untuk menghuraikan ciri-ciri yang patut ada pada diri seorang dai’e tetapi ini semua berdasarkan pengalaman saya dan ilmu yang cetek ini. Bukanlah namanya orang yang faham erti ‘da’wah’, ‘tabligh’, ‘tarbiyyah’ dan yang seangkatan dengannya andai dirinya sendiri masih belum mampu mendefinisi secara praktikal tentang jalan da’wah ini dan metod-metodnya.

‘Tabligh’ itu menyampaikan (kebenaran Islam) kepada orang lain BUKAN ‘menyampaikan’ buku lima ke pipi orang lain. Sekiranya penyampaian yang sepatutnya dilakukan dengan hikmah bertukar menjadi insiden tumbuk-menumbuk, maka itu bukan lagi namanya HIKMAH.

“Maka disebabkan rahmat Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri  dari sekelilingmu.”

(QS. Ali-Imran : 159)

Di sini, kita akan lihat betapa pentingnya para dai’e menyiapkan diri masing-masing dengan ilmu yang lengkap. Seorang tokoh pernah berkata, “Ilmu itu milik orang Muslim, maka di mana sahaja dia temuinya, dia berhak ke atasnya.” Daripada kata-kata ini dapatlah disimpulkan bahawa ilmu ini luas selagimana ia tidak melibatkan pegangan akidah (seperti ilmu kemahiran), seorang Muslim itu berhak untuk mengambilnya walau dari manapun datangnya. Kalau tidak, masakan Rasulullah menyuruh para sahabat pergi ke China untuk belajar teknologi daripada mereka? Tentulah ini membawa mesej betapa Islam sangat mengalu-alukan perkembangan ilmu.

Jadi di sini tidak wujud isu seseorang itu tidak boleh mencedok ilmu Barat atau seseorang itu tidak boleh membaca mana-mana buku yang mengandungi ayat-ayat Bible kerana dikhuatiri akan murtad. Jikalau begitu, bagaimana umat Islam hari ini akan maju? Bukankah dalam Al-Quran ada menyebut:

“Bertanyalah kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui”

(Surah al-Nahl : 43)

Para dai’e hendaklah berfikiran terbuka dalam menuntut ilmu tetapi pada masa yang sama berpegang teguh pada prinsip-prinsip Islam. Tidak wajar seorang Muslim itu menjadikan alasan bahawa Al-Quran itu sukar difahami, lalu dia memilih kitab lain untuk dijadikan panduan. Sepatutnya, hendaklah kita mengatasi kelemahan kita dalam mentadabbur ayat-ayat cintaNya dengan mencari bahan-bahan tambahan agar ayat-ayat Al-Quran itu lebih jelas difahami. Kalau kita sekadar pandai memberi alasan betapa sukarnya mahu mendalami Al-Quran, tidakkah kita rasa yang sebenarnya kita sedang cuba mengatakan yang Tuhan itu bodoh kerana menurunkan Al-Quran yang SUKAR DIFAHAMI? Maha Suci Allah dari segala kelemahan!

Itulah hikmah wahyu pertama diturunkan berbunyi, “IQRA’ ! (BACALAH!). Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…” – [Surah Al-‘Alaq: 1]  Maksudnya sangat mendalam. Bukan setakat mesti memulakan pekerjaan dengan menyebut nama Tuhan tetapi jauh lebih tersirat ialah MESTI melihat sesuatu itu dengan ‘KACA MATA BERTUHAN’. Bacalah buku apa pun. Belajarlah daripada sarjana manapun. Kristian atau Yahudi. Cedoklah ilmu dari ceruk mana pun. Syaratnya, ‘BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU!” Maksudnya, lihatlah sesuatu itu dengan pandangan Islam. Menurut Al-Quran dan sunnah. Dengan itu, pasti tidak akan tersesat, tersasar dan terlencong.

Oleh itu, para dai’e harus sedar betapa pentingnya membudayakan proses pembelajaran sepanjang hayat supaya dai’e tidak mudah melatah apabila dihujani hujah-hujah, tidak pula meneguk air liur melihat masyarakat sekelilingnya telah jauh ke hadapan. Para dai’e sangat sangat sangat perlu banyak membaca, berfikir dan mengkaji tentang segala ilmu yang dipelajarinya agar bertambah tajam pemikirannya dan bagi menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa budaya taklid buta!

Kita perlukan ilmu yang diterjemahkan dalam amal supaya da’wah ini tidak menjadi fitnah dek kelemahan diri kita sendiri. Belajarlah dan terus belajar! Demi cinta kepada Allah dan Habibullah. Demi cinta kita pada jalan da’wah!

Belajar dan terus belajar!

Credits

Bittaufiq wannajah! 😉

Wallahua’lam.

Memandu di Lorong ‘No Entry’

ZASS!!!…
Sepantas kilat sebuah kereta sports berwarna merah memecut. Lalu dengan perlahan membelok ke kiri menghala ke sebuah jalan kecil.
Tiba-tiba…
“Hey, ini lorong ‘No Entry’ laa..mana boleh lalu sini!” jerit seorang pak cik tua.
“Jangan sibuklah! Saya tahuuu…” balas pemuda berkaca mata hitam, pemilik Ferrari 458 Spider.

Dengan tidak semena-mena,
DUSHHH!!! Kereta yang bernilai RM 2.3 juta itu telah melanggar sebuah palang besi besar yang merintangi jalan. Di sisinya tercatat “AWAS! Proses pembaikan sedang dijalankan.”

PENGAJARAN: Jangan sombong apabila diberi nasihat.

##################################################

Itulah analogi kehidupan ini. Walau hebat manapun seseorang itu, walau setinggi manapun statusnya, dia tidak dapat lari daripada keperluan untuk mematuhi peraturan. Jika tidak, dia merisikokan dirinya kepada ‘kematian’ seperti matinya seekor katak!

Masyarakat kita di Malaysia sangat sensitif apabila berada di jalan raya. Pantang salah sedikit, pasti mudah melenting. Yang bagusnya, akan sentiasa ada yang menegur kesilapan si pemandu di jalan raya baik secara berhemah ataupun tidak. Ironinya segala tindakan refleks itu seolah-olah hilang begitu sahaja apabila berhadapan dengan orang yang melakukan maksiat dan kemungkaran. Adakah ketika itu dengan tiba-tiba ‘axon’ dan ‘dendrites’ nya mengalami kerosakan? Saya pun tidak pasti.

Alangkah baiknya, jika tahap sensitiviti yang sama, wujud apabila ternampak seorang Muslim yang lain ‘tersilap lorong’. Sensitiviti yang sama apabila Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam dihina. Sensitiviti yang sama apabila melihat umat Islam serata dunia ditindas. Malang, sangat sedikit sekali insan yang sensitif dengan isu-isu sebegini. Kalau adapun sensitif, sensitifnya itu bermusim macam negara empat musim. Sensitifnya menampakkan kedunguannya dalam mengatasi masalah ummah. (Maaf, sedikit kasar bunyinya.)

Yalah, apa tidaknya, adakah BIJAK jika dia hanya berdemonstrasi betapa cintanya dia kepada Yang Maha Esa dan Habibullah di dinding-dinding mukabuku dan di tepi-tepi jalan? Sedangkan pada masa yang sama, di celah jarinya tersepit Pak Cik Salem yang ‘hot’, lidahnya ‘berzikir’ Oppa Gangnam tanpa henti, matanya begitu ‘menikmati’ keindahan ciptaan Tuhan pada susuk tubuh Adam dan Hawa di depan mata. Adakah itu namanya CINTA kepada Yang Maha Esa??? Adakah itu dikira sensitif pada agama?

Bleh blah lah luuu!!!…

“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah tuhan selain Allah sebagai tandingan, yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah…” – [Surah AlBaqarah 2: 165]

##################################################

Dalam kehidupan ini, kita memerlukan manual dan peraturan yang sesuai dengan fitrah kita samalah sepertimana perlunya sebuah kereta mewah pada penggunaan yang berdasarkan manual pengeluar dan mematuhi peraturan jalan raya agar tidak rosak. Manusia telah dianugerahkan Allah dengan fitrahnya yang mampu membezakan antara kebaikan dan kejahatan, maka hendaklah dia sentiasa memelihara dirinya daripada didihan api neraka dengan mengikuti panduan yang tidak ada kebengkokan dan sebarang keraguan padanya (Al-Quran).

“Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya. Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Pasti berjaya orang yang menyucikannya (jiwa itu). Dan pasti rugi orang yang mengotorinya.” – [Surah AsSyams 91: 7-10]

 

“Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan Kitab (Al-Quran) kepada hambaNya dan tidak menjadikannya bengkok. Sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan tentang seksa yang sangat pedih dari sisiNya dan memberikan khabar gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan kebajikan bahawa mereka akan mendapat balasan yang baik.” – [Surah AlKahfi 18: 1-2]

 

Kesimpulannya, solusi kepada permasalahan (sikap pentingkan diri dan ‘Aku lebih baik daripada kau’) ialah:-

1. Memperbanyak tadabbur Al-Quran.

2. Berlapang dada apabila ditegur dan dinasihati.

3. Meletakkan sikap sensitif pada tempatnya.

4. Saling menasihati antara satu sama lain ke arah kebaikan.

5. Buat ‘checklist’ imaan sebelum tidur. (Jangan perasan diri kau SUCI!)

“…Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui tentang orang yang bertakwa.”– [Surah anNajm 53: 32]

Ciri Peribadi Seorang Muslim

Credits

 

Wallahua’lam.