Tag Archives: hikmah

HADIAH ALLAH DI HUJUNG JALAN

Hadiah Allah di Hujung Jalan

Hadiah Allah di Hujung Jalan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Satu semester telah berlalu, berbaki lagi dua semester untuk ditempuhi. Semester ini sangat bermakna bagi saya kerana saya belajar untuk mengeluarkan diri daripada zon selesa. Allah izinkan untuk saya menempuhi cabaran yang tidak pernah digambarkan sebelum ini. Menjadi pemimpin sememangnya bukan perkara mudah. Amanah yang dipikul akan dipersoalkan di akhirat nanti, adakah telah dilaksanakan dengan terbaik atau ala kadar sahaja? Ketika kebanyakan pelajar lain telah ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing, menikmati masa bersama keluarga, nampaknya saya masih di sini untuk melunaskan tanggungjawab yang berbaki bersama sahabat-sahabat seangkatan. Semoga Allah terima amal yang sedikit ini.

Antara perkara paling berharga yang saya dapati sepanjang semester ini ialah:

1. Seorang pemimpin itu mesti berani ke depan, mendominasi keadaan agar ianya selari dengan kehendak Tuhan.

2. Merendahkan diri tidak sekali-kali membuat dirimu rendah. Pemimpin itu perlu ada tawadhu’ terhadap ilmu yang dipelajari dan orang yang di bawah pimpinannya.

3. SABAR itu kunci kejayaan. Dengan sabar, akan terurailah segala hikmah ujian. SABAR itu kekuatan yang perlu ada pada setiap dai’e.

4. Apabila Allah ujikan kita dengan sesuatu, Dia juga akan kurniakan kita jalan keluarnya. Yakinlah dengan pertolonganNya.

5. Da’wah itu berdiri atas ikatan ukhwah. Ukhwah kerana Allah itu akan diuji ketulusannya. Ketika itu, cinta kepada Allah-lah yang akan menyelamatkannya daripada segala tipu daya syaitan.

 

Mencabar diri keluar dari zon selesa tentu sahaja menyakitkan. Tetapi melaluinya kita akan dapat bina kekuatan. Seperti mana proses terbentuknya batuan permata, yang memerlukan tekanan yang tinggi maka barulah akan terhasil batuan yang cantik berkilauan.

Ketika diri diuji dengan panjangnya jalan perjuangan, hampir sahaja futur (putus asa) di tengah jalan, Allah juga yang menjadi sumber kekuatan. Ujian Allah adalah hadiah yang paling berharga dari Khaliq, kerana dengannya kita akan dapat merasai kemanisan iman. Allah memberikan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang dikehendakiNya. Allah hadirkan ujian dan Dia juga yang menghadirkan pertolongan.

Selepas segala jerih payah mempelajari selok-belok kepimpinan, mempelajarinya dengan penuh kesakitan, Allah hadiahkan saya seorang teman, saudara dalam perjuangan. Kehadirannya sangat memberi kesan kepada saya. Kami berbeza dalam banyak perkara tetapi apa yang menyatukan kami adalah cinta kepada Allah dan Rasul. Perbezaan antara saya dengannya adalah rahmat Allah yang menjadikan kami sahabat yang saling melengkapi. Tidak tergambar akan rasa syukur di hati apabila menerima hadiah Ilahi ini.  Ukhwah ini adalah hadiah Allah yang sangat indah. Makbul akhirnya doa saya agar dihadirkan saudara penambah kekuatan sepertimana Allah kuatkan Musa ‘alayhissalam dengan menghadirkan Harun ‘alayhissalam sebagai saudaranya dalam perjuangan.

Namun, sebagai hamba Ilahi, sangat perlu untuk diri ini sedar bahawa cinta Allah itu perlulah sentiasa menjadi prioriti. Nombor satu dalam hati. Dan cinta kepada makhlukNya juga hanya kerana cinta seorang hamba kepada Tuhannya. 

 

DSCN1605

“Ya Allah, jadikan kami saudara dalam perjalanan panjang ini dan jadikan kami termasuk dalam golongan hamba yang Engkau cintai.” Amin.

 

APRIL 13, 2013
1749 HOURS
PUSAT ISLAM AT-TAQWA
UiTM KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN.
 
Advertisements

Penyakit Orang ‘Tabligh’

Post ini ditulis bukan untuk ‘menaikkan darah’ sesiapa, bukan juga untuk memandang rendah mana-mana pihak tetapi jika ada yang terasa, memang patut pun terasa kerana kadangkala seorang dai’e itu memang perlu akan tepuk tampar agar dia tersedar dari lenanya.

Tepuk tampar itu adakalanya perlu bagi menyedarkan para dai’e dari lenanya.

Credits

“Assalamu’alaikum, bro! Lama tak nampak? Apa kau buat kat sini?”

“What’s up, bro! Lama siot tak jumpa! Apa cer, dowh?! Aku jalan beli buku ni haa.. (sambil menunjuk beg plastik MPH yang dijinjit)”

“Oh..aku bawa adik aku jalan-jalan. Dia kata nak cari buku. Puas aku tunggu berjam, ntah mana ntah dia. Buku apa kau beli tu?”

“Ni saje nak cari buku motivasi sket…”

“Aii..amende ni, bro? Siap ayat Bible bagai dalam ni? Kau baca buku macam ni? (nada sarkastik)”

“Ha..kenapa? Tak boleh? Buku ni baguslah..senang nak faham. Dia ajar kita ‘how to manage our life’.”

“Hey,bro..mana boleh baca buku macam ni..kau ni dah ‘converted’ ke apa? Ni ayat-ayat Bible ni..Tak cukup ke Quran untuk kita?”

“Hey, hey..relaks dulu, bro..Kau dah buang tabiat ke? Takkan baca buku macam ni pun kau nak kata aku dah ‘converted’. Aku waras lagi lah..Aku baca buku ni sebab bahasa dia mudah nak faham. Penerangan dia ‘simple’. Bukannya aku dah ‘converted’ ke apa. Memanglah dalam Quran tu semua ada, tapi baca terjemahan dia macam tu je, boleh faham ke? Quran tu bahasa dia tinggi. Baca terjemahan pun belum tentu faham.”

“Eh, kau ni aku ‘bagi’ karang! (Sambil menggenggam buku lima) Kau gila?!”

“Macam ni, kawan? Kau ni nama je ‘tabligh’…perangai!! Huh! (nada bengang)”

***

Apa yang cuba digambarkan di sini ialah sikap para dai’e muda yang terburu-buru dalam menyampaikan. Saya mungkin bukanlah orang yang paling layak untuk menghuraikan ciri-ciri yang patut ada pada diri seorang dai’e tetapi ini semua berdasarkan pengalaman saya dan ilmu yang cetek ini. Bukanlah namanya orang yang faham erti ‘da’wah’, ‘tabligh’, ‘tarbiyyah’ dan yang seangkatan dengannya andai dirinya sendiri masih belum mampu mendefinisi secara praktikal tentang jalan da’wah ini dan metod-metodnya.

‘Tabligh’ itu menyampaikan (kebenaran Islam) kepada orang lain BUKAN ‘menyampaikan’ buku lima ke pipi orang lain. Sekiranya penyampaian yang sepatutnya dilakukan dengan hikmah bertukar menjadi insiden tumbuk-menumbuk, maka itu bukan lagi namanya HIKMAH.

“Maka disebabkan rahmat Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri  dari sekelilingmu.”

(QS. Ali-Imran : 159)

Di sini, kita akan lihat betapa pentingnya para dai’e menyiapkan diri masing-masing dengan ilmu yang lengkap. Seorang tokoh pernah berkata, “Ilmu itu milik orang Muslim, maka di mana sahaja dia temuinya, dia berhak ke atasnya.” Daripada kata-kata ini dapatlah disimpulkan bahawa ilmu ini luas selagimana ia tidak melibatkan pegangan akidah (seperti ilmu kemahiran), seorang Muslim itu berhak untuk mengambilnya walau dari manapun datangnya. Kalau tidak, masakan Rasulullah menyuruh para sahabat pergi ke China untuk belajar teknologi daripada mereka? Tentulah ini membawa mesej betapa Islam sangat mengalu-alukan perkembangan ilmu.

Jadi di sini tidak wujud isu seseorang itu tidak boleh mencedok ilmu Barat atau seseorang itu tidak boleh membaca mana-mana buku yang mengandungi ayat-ayat Bible kerana dikhuatiri akan murtad. Jikalau begitu, bagaimana umat Islam hari ini akan maju? Bukankah dalam Al-Quran ada menyebut:

“Bertanyalah kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui”

(Surah al-Nahl : 43)

Para dai’e hendaklah berfikiran terbuka dalam menuntut ilmu tetapi pada masa yang sama berpegang teguh pada prinsip-prinsip Islam. Tidak wajar seorang Muslim itu menjadikan alasan bahawa Al-Quran itu sukar difahami, lalu dia memilih kitab lain untuk dijadikan panduan. Sepatutnya, hendaklah kita mengatasi kelemahan kita dalam mentadabbur ayat-ayat cintaNya dengan mencari bahan-bahan tambahan agar ayat-ayat Al-Quran itu lebih jelas difahami. Kalau kita sekadar pandai memberi alasan betapa sukarnya mahu mendalami Al-Quran, tidakkah kita rasa yang sebenarnya kita sedang cuba mengatakan yang Tuhan itu bodoh kerana menurunkan Al-Quran yang SUKAR DIFAHAMI? Maha Suci Allah dari segala kelemahan!

Itulah hikmah wahyu pertama diturunkan berbunyi, “IQRA’ ! (BACALAH!). Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…” – [Surah Al-‘Alaq: 1]  Maksudnya sangat mendalam. Bukan setakat mesti memulakan pekerjaan dengan menyebut nama Tuhan tetapi jauh lebih tersirat ialah MESTI melihat sesuatu itu dengan ‘KACA MATA BERTUHAN’. Bacalah buku apa pun. Belajarlah daripada sarjana manapun. Kristian atau Yahudi. Cedoklah ilmu dari ceruk mana pun. Syaratnya, ‘BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU!” Maksudnya, lihatlah sesuatu itu dengan pandangan Islam. Menurut Al-Quran dan sunnah. Dengan itu, pasti tidak akan tersesat, tersasar dan terlencong.

Oleh itu, para dai’e harus sedar betapa pentingnya membudayakan proses pembelajaran sepanjang hayat supaya dai’e tidak mudah melatah apabila dihujani hujah-hujah, tidak pula meneguk air liur melihat masyarakat sekelilingnya telah jauh ke hadapan. Para dai’e sangat sangat sangat perlu banyak membaca, berfikir dan mengkaji tentang segala ilmu yang dipelajarinya agar bertambah tajam pemikirannya dan bagi menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa budaya taklid buta!

Kita perlukan ilmu yang diterjemahkan dalam amal supaya da’wah ini tidak menjadi fitnah dek kelemahan diri kita sendiri. Belajarlah dan terus belajar! Demi cinta kepada Allah dan Habibullah. Demi cinta kita pada jalan da’wah!

Belajar dan terus belajar!

Credits

Bittaufiq wannajah! 😉

Wallahua’lam.