Tag Archives: cinta

Putera Hatiku

PUTERA HATIKU

Ku selak lembaran demi lembaran,

Ku baca sepatah demi sepatah perkataan,

Lalu tersingkap sejarah lama itu,

Yang kian dilupakan dengan berlalunya zaman,

Ku seka air mata yang menitis,

Nafas berombak tak tertahan,

Makin aku selami riwayat hidup itu makin dalam rinduku pada insan itu,

Cinta ini ironi sekali,

Rindu yang menyapa hati pada insan yang tak pernah aku temui,

Apatah lagi menatap wajahnya,

Rindu ini tersangat dalam,

Rindu yang membuatkan bibirku terkunci dan terdiam,

Aku tatap lagi kitab kuning itu,

Yang mulai reput seiring dimamah waktu,

Sirah anNabawiyyah susunan Abu Al-Hassan Ali An-Nadwy,

Ku baca berulang-ulang kali,

Lalu aku jatuh cinta berkali-kali,

Pada seorang insan agung yang bisa buat aku termimpi-mimpi,

Kerana dia adalah Muhammad yang aku cintai,

Layakkah aku berkata begini?

Amal ku tidak seperti si ‘abid,

Mati ku belum tentunya syahid,

Bagaimana ingin aku buktikan padamu?

Besarnya cinta dalam hatiku,

Besar lagi cinta Sahabat kepadamu,

Tapi engkaulah yang aku rindu selalu,

Engkaulah, wahai cinta hatiku,

Izinkan aku melihat sinar wajahmu,

Agar terubatlah sesak di dadaku,

Akan aku lakukan sesuatu,

Agar kau tahu yang aku cinta padamu,

Engkaulah putera hatiku,

Hingga saat nafasku terhenti,

Bertemu dengan Kekasih Tertinggi.

"Setiap orang adalah hamba kepada siapa yang dicintainya." - Anonymous

“Setiap orang adalah hamba kepada siapa yang dicintainya.” – Anonymous

HAMBA TUHAN

APRIL 18, 2013

2254 HOURS

TERATAK SRI KENANGA, SHAH ALAM.

HADIAH ALLAH DI HUJUNG JALAN

Hadiah Allah di Hujung Jalan

Hadiah Allah di Hujung Jalan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Satu semester telah berlalu, berbaki lagi dua semester untuk ditempuhi. Semester ini sangat bermakna bagi saya kerana saya belajar untuk mengeluarkan diri daripada zon selesa. Allah izinkan untuk saya menempuhi cabaran yang tidak pernah digambarkan sebelum ini. Menjadi pemimpin sememangnya bukan perkara mudah. Amanah yang dipikul akan dipersoalkan di akhirat nanti, adakah telah dilaksanakan dengan terbaik atau ala kadar sahaja? Ketika kebanyakan pelajar lain telah ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing, menikmati masa bersama keluarga, nampaknya saya masih di sini untuk melunaskan tanggungjawab yang berbaki bersama sahabat-sahabat seangkatan. Semoga Allah terima amal yang sedikit ini.

Antara perkara paling berharga yang saya dapati sepanjang semester ini ialah:

1. Seorang pemimpin itu mesti berani ke depan, mendominasi keadaan agar ianya selari dengan kehendak Tuhan.

2. Merendahkan diri tidak sekali-kali membuat dirimu rendah. Pemimpin itu perlu ada tawadhu’ terhadap ilmu yang dipelajari dan orang yang di bawah pimpinannya.

3. SABAR itu kunci kejayaan. Dengan sabar, akan terurailah segala hikmah ujian. SABAR itu kekuatan yang perlu ada pada setiap dai’e.

4. Apabila Allah ujikan kita dengan sesuatu, Dia juga akan kurniakan kita jalan keluarnya. Yakinlah dengan pertolonganNya.

5. Da’wah itu berdiri atas ikatan ukhwah. Ukhwah kerana Allah itu akan diuji ketulusannya. Ketika itu, cinta kepada Allah-lah yang akan menyelamatkannya daripada segala tipu daya syaitan.

 

Mencabar diri keluar dari zon selesa tentu sahaja menyakitkan. Tetapi melaluinya kita akan dapat bina kekuatan. Seperti mana proses terbentuknya batuan permata, yang memerlukan tekanan yang tinggi maka barulah akan terhasil batuan yang cantik berkilauan.

Ketika diri diuji dengan panjangnya jalan perjuangan, hampir sahaja futur (putus asa) di tengah jalan, Allah juga yang menjadi sumber kekuatan. Ujian Allah adalah hadiah yang paling berharga dari Khaliq, kerana dengannya kita akan dapat merasai kemanisan iman. Allah memberikan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang dikehendakiNya. Allah hadirkan ujian dan Dia juga yang menghadirkan pertolongan.

Selepas segala jerih payah mempelajari selok-belok kepimpinan, mempelajarinya dengan penuh kesakitan, Allah hadiahkan saya seorang teman, saudara dalam perjuangan. Kehadirannya sangat memberi kesan kepada saya. Kami berbeza dalam banyak perkara tetapi apa yang menyatukan kami adalah cinta kepada Allah dan Rasul. Perbezaan antara saya dengannya adalah rahmat Allah yang menjadikan kami sahabat yang saling melengkapi. Tidak tergambar akan rasa syukur di hati apabila menerima hadiah Ilahi ini.  Ukhwah ini adalah hadiah Allah yang sangat indah. Makbul akhirnya doa saya agar dihadirkan saudara penambah kekuatan sepertimana Allah kuatkan Musa ‘alayhissalam dengan menghadirkan Harun ‘alayhissalam sebagai saudaranya dalam perjuangan.

Namun, sebagai hamba Ilahi, sangat perlu untuk diri ini sedar bahawa cinta Allah itu perlulah sentiasa menjadi prioriti. Nombor satu dalam hati. Dan cinta kepada makhlukNya juga hanya kerana cinta seorang hamba kepada Tuhannya. 

 

DSCN1605

“Ya Allah, jadikan kami saudara dalam perjalanan panjang ini dan jadikan kami termasuk dalam golongan hamba yang Engkau cintai.” Amin.

 

APRIL 13, 2013
1749 HOURS
PUSAT ISLAM AT-TAQWA
UiTM KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN.
 

Universiti Kehidupan

Dia insan biasa. Bukan ustazah dan bukan juga seorang professor ternama. Bidangnya bukan ‘ulum syariah, bukan juga usuluddin. Tetapi jiwanya, jiwa besar, jiwa seorang dai’e yang mencintai jalan da’wah. Aku sangat kagum dengan kegigihannya untuk mendidik anak-anak sepertiku. Bukan senang melayan karenah kami yang pelbagai. Belum kira yang degil, tak mendengar kata. Di sebalik ketegasannya tersembunyi sifatnya yang penyayang kepada anak didiknya.

Banyak perkara baru yang aku belajar daripadanya. Aku lihat kesibukannya dengan tugas hakikinya sebagai pegawai perpustakaan kampus dan pegawai pembangunan pelajar tidak menghalang dia untuk tetap meluangkan masa bersama-sama dengan anak didiknya. Kerap kali perjumpaan kami diadakan pada subuh hujung minggu. Perjumpaan mingguan itu akan diisi dengan nasihat dan kata-kata semangat. Pada masa yang sama, jika ada kesempatan kami akan berkongsi masalah untuk diselesaikan bersama.

Aku juga melihat dia sebagai seorang yang mengajarkan aku tentang pentingnya menjaga keluarga walau macamana sibuk sekalipun kita. Atas faktor itu, dia mengambil keputusan untuk berpindah ke UiTM Jengka agar lebih mudah untuk dia berulang-alik untuk menjaga ibunya yang sudah lanjut usia. Aku berazam apabila tiba masa aku untuk berkerjaya nanti, aku juga ingin menjadi sepertinya, tetap menjaga kebajikan ibu bapa walau komitmen kerja menekan.

Bukan mudah menjadi individu sesibuk dia tetapi masih berusaha untuk membahagikan masa dengan baik. Daripadanya, aku belajar untuk menjadi orang yang sanggup berkorban besar demi mencapai cita-cita. Menghayati apa yang sering dimaksudkan dengan “No pain, no gain. No guts, no glory.” Mendengar kisahnya ketika zaman belajar hinggalah ke hari ini, menyuntik semangat aku untuk usaha bersungguh-sungguh sepertinya. Dia sangat aktif berprogram tetapi pada masa yang sama sangat bagus dalam akademik. Mendapat Anugerah Naib Canselor ketika graduasi.

Sebagai seorang pendidik, dia seorang yang tegas.

Sebagai seorang kakak, dia seorang yang penyayang.

Sebagai seorang pegawai, dia seorang yang komited dan amanah.

Sebagai seorang anak, dia seorang yang bertanggungjawab.

Sebagai seorang sahabat, dialah penasihat agar diri perbetulkan niat dalam bekerja.

Dia pernah kata, “Saya paling takut bila dengar orang kata nak jadi macam saya. Sebab saya pun banyak yang kurang. Tapi saya harap ‘anak buah’ saya semuanya jadilah lebih baik daripada saya.”

Dalam hati, aku tekad untuk mencontohinya dan usaha jadi lebih baik daripadanya kerana aku juga cinta akan Allah dan Rasul seperti mana dia. Semoga Allah memberkatinya sepanjang perjalanan hidup. Semoga berjaya dunia akhirat, ukht!

“Bon Voyage, ukht!” Harap kita akan bertemu lagi dan tetap bersatu atas jalan da’wah ini.

‘Ala kulli hal : Kembaralah ke seluruh bumi Allah, kita akan pelajari banyak perkara jika kita memerhati setiap peristiwa dengan akal dan hati. Lihatlah, perhatikan dengan teliti dan pelajarilah dari alam. Selamat datang ke Universiti Kehidupan! 🙂

(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?)
– [Surah al-Balad: 8]

 

University of Glasgow – where I’d like to further my studies. May Allah ease. 🙂

Berusrah Dalam LRT

5 November 2012.

Koc bergerak meninggalkan stesen KL Sentral menghala ke stesen KLCC. Orang ramai yang tadinya berpusu-pusu masuk ke dalam koc mula mencari ruang-ruang kosong untuk diduduki. Kami berdua berdiri sambil tangan memaut kemas pada tempat pemegang di atas kepala. Begitulah suasana di ibu kota yang sibuk.

Gambar hiasan: Bateri handphone ‘kong’ masa nak capture. Terpaksa google je gambar hiasan ni. Huhu… ;p

Credits

“Lama tak jumpa. Finally. Walaupun tak sampai sebulan, rindu dah.”

Aku tersenyum mendengar ujarnya.

“Heh, kenapa?”

“Takde… Tiba-tiba teringat time aku pergi konvensyen belia semalam, ada seorang speaker tu cerita pasal cinta kepada Allah. Dia kata kalau kita nak tahu macamana hubungan kita dengan Allah, cuba tengok macamana hubungan kita dengan Al-Quran? Kalau kita ni tiap-tiap hari rindu nak baca ayat-ayatNya, that’s a positive sign. Lagi, cinta itu membuahkan rindu. Kita akan sentiasa rindu nak jumpa Dia. Yelah, cuba kita tengok sirah. Pahlawan Islam sangat rindukan syahid di jalanNya. Kita macamana? Rindu tak nak jumpa Dia? Tu yang bila kau sebut ‘rindu’, aku teringat apa speaker tu cakap pasal rindu. Bila kita sayang, cinta, kita akan rindukannya selalu.”

“Oh..”, senyum Cik Bunga menampakkan baris giginya apabila mendengar celoteh aku.

Sedang kami sibuk berborak tentang aktiviti cuti masing-masing…

“KLCC. KLCC. Sila awasi langkah anda. Please mind your steps.”

Aku dan Cik Bunga pun menghayun langkah menaiki escalator ke Aras 4.

Sejurus sampai, terpampang di depan mata sebesar-besar alam, KINOKUNIYA.

Ahh…this is heaven! Kedai buku terbesar di Malaysia!

Sambil ‘memborong’ buku dan bersiar-siar di Suria KLCC, kami berdua tanpa henti bercerita itu ini. Berkongsi nasihat dan tazkirah. Manisnya bertemu kerana Allah! Berkasih sayang keranaNya. 🙂

Hidup tanpa cinta, kosong. Cinta membuatkan insan bahagia. Namun bagaimana kita mendefinisikan CINTA dan BAHAGIA itu?

As happy as a cow. Maybe?

Sebahagia lembu? Aneh bunyinya.

Lembu digambarkan sebagai haiwan yang hanya mementingkan soal makan, minum dan berseronok bersama pasangannya. Jika seorang insan itu ingin hidup just as happy as a cow, alangkah ruginya dia. Betapa banyak benda yang masih belum kita terokai di dunia, adakah kita hanya bercita-cita ingin sebahagia lembu?

Ah, memang tak mungkin ada yang mahu mengaku. Tetapi realitinya memang begitu. Manusia hari ini lebih suka memilih jalan HIDUP  KELEMBUAN berbanding jalan HIDUP BERTUHAN.

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu SENTIASA dalam kerugian. Melainkan bagi mereka yang saling berpesan ke arah kebenaran. Dan saling berpesan dengan kesabaran.” – [Surah al’Asr]

Berapa ramai yang merasakan memberi peringatan (da’wah) kepada Muslim lain itu suatu perkara penting dalam hidup? Dan berapa ramai pula yang bersabar dalam memberi peringatan kepada saudaranya? Lihat betapa kita sebenarnya sentiasa dalam kerugian melainkan kita sentiasa berusaha untuk menyebarkan Islam dengan pelbagai cara. Dan cara yang paling utama ialah dengan menjadi duta Islam itu sendiri. Role model. Qudwah hasanah. Kerana da’wah bil hal (da’wah melalui contoh yang baik) itu lebih besar kesannya kepada masayarakat sekeliling berbanding da’wah bil lisan (da’wah secara lisan). Well, ACTION SPEAKS LOUDER THAN WORDS.

OPSS… Jangan tuding jari pada orang lain dahulu sebelum melihat diri sendiri, adakah aku ini seperti lembu? Yang hidupnya hanya mementingkan makan, minum, pasangan hidup dan perkara-perkara yang zahir sahaja?

“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, LEBIH kamu cintai dari Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya, maka tunggulah hingga Allah memberikan keputusanNya’. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasiq.” – [Surah atTaubah: 24]

Itulah definisi tepat bagi hidup kelembuan. Sekurang-kurangnya lembu itu lebih baik daripada kita kerana banyak berzikrullah.

Kata Ibn Mas’ud, “Kalau kamu ingin tahu bagaimana cinta kamu dengan Allah, lihatlah bagaimana kamu dengan Al-Quran.”

Ibn Qayyim juga pernah menyebut tentang cinta kepada Allah, “Bahawa ia merupakan sebab yang paling kuat untuk boleh bersabar sehingga tidak menyelisihi dan bermaksiat kepadaNya. Kerana sesungguhnya seseorang pasti akan mentaati sesuatu yang dicintainya dan setiap kali bertambah kekuatan cintanya maka berkonsekuensi lebih kuat untuk taat kepadaNya, tidak menyelisihi dan bermaksiat kepadaNya.”

(Sumber: Ucapan oleh Sir Rosdi Baharom dalam KOBAR 2012, KUIS, Bangi.)

Oleh itu, sebagai Muslim dan dai’e yang mencintai Allah dan Rasul, seharusnya kita sentiasa meningkatkan usaha untuk memperbaiki diri dan masyarakat,  bukannya duduk berpeluk tubuh. Bandingkanlah sebesar manalah sangat  pengorbanan kita dalam mencintai Allah jika dibanding dengan pengorbanan  orang-orang yang sangat mencintai dunia?  Jauh bezanya. Mereka bergerak dengan tersusun. Kita? Mereka bekerja siang dan malam. Kita? Mereka berkumpul bersatu demi cinta dunia. Kita? Mereka menghambakan diri sepenuhnya demi cita-cita duniawi. Kita? Bagaimana pengorbanan cinta kita kepada Allah? Adakah sehebat pengorbanan cinta para pencinta dunia kepada dunianya?

Fikir-fikirkanlah…

Muda hanya sekali, biar hidup dengan penuh makna. Setiap hela nafas ini, hembusannya biarlah penuh dengan cinta hanya untuk Dia! Allahu…Allahu…Allahu…

###

“Eh, dah pukul 4pm. Dah nak masuk Asar. Jom, nak kena balik awal. Kita solat kat KL Sentral nanti, nak?”

“A’ah, jom! Kita solat sama, ye?”

“Hehe…macam biasa.” Senyum. Rindu nak berjemaah macam selalu time kat  kampus.

Lalu kami pun bertolak pulang. Menghabiskan sisa-sisa masa yang ada, berusrah dalam LRT. Thank you, Allah for giving us this opportunity!  🙂

Wallahua’lam.

P.S: Jazakillah khair kepada sahabatku, Cik Bunga yang sudi meminjamkan masa untuk berusrah bersama-sama sepanjang perjalanan. Terima kasih untuk buku yang dihadiahkan. Such a perfect gift!  ^_^

Memandu di Lorong ‘No Entry’

ZASS!!!…
Sepantas kilat sebuah kereta sports berwarna merah memecut. Lalu dengan perlahan membelok ke kiri menghala ke sebuah jalan kecil.
Tiba-tiba…
“Hey, ini lorong ‘No Entry’ laa..mana boleh lalu sini!” jerit seorang pak cik tua.
“Jangan sibuklah! Saya tahuuu…” balas pemuda berkaca mata hitam, pemilik Ferrari 458 Spider.

Dengan tidak semena-mena,
DUSHHH!!! Kereta yang bernilai RM 2.3 juta itu telah melanggar sebuah palang besi besar yang merintangi jalan. Di sisinya tercatat “AWAS! Proses pembaikan sedang dijalankan.”

PENGAJARAN: Jangan sombong apabila diberi nasihat.

##################################################

Itulah analogi kehidupan ini. Walau hebat manapun seseorang itu, walau setinggi manapun statusnya, dia tidak dapat lari daripada keperluan untuk mematuhi peraturan. Jika tidak, dia merisikokan dirinya kepada ‘kematian’ seperti matinya seekor katak!

Masyarakat kita di Malaysia sangat sensitif apabila berada di jalan raya. Pantang salah sedikit, pasti mudah melenting. Yang bagusnya, akan sentiasa ada yang menegur kesilapan si pemandu di jalan raya baik secara berhemah ataupun tidak. Ironinya segala tindakan refleks itu seolah-olah hilang begitu sahaja apabila berhadapan dengan orang yang melakukan maksiat dan kemungkaran. Adakah ketika itu dengan tiba-tiba ‘axon’ dan ‘dendrites’ nya mengalami kerosakan? Saya pun tidak pasti.

Alangkah baiknya, jika tahap sensitiviti yang sama, wujud apabila ternampak seorang Muslim yang lain ‘tersilap lorong’. Sensitiviti yang sama apabila Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam dihina. Sensitiviti yang sama apabila melihat umat Islam serata dunia ditindas. Malang, sangat sedikit sekali insan yang sensitif dengan isu-isu sebegini. Kalau adapun sensitif, sensitifnya itu bermusim macam negara empat musim. Sensitifnya menampakkan kedunguannya dalam mengatasi masalah ummah. (Maaf, sedikit kasar bunyinya.)

Yalah, apa tidaknya, adakah BIJAK jika dia hanya berdemonstrasi betapa cintanya dia kepada Yang Maha Esa dan Habibullah di dinding-dinding mukabuku dan di tepi-tepi jalan? Sedangkan pada masa yang sama, di celah jarinya tersepit Pak Cik Salem yang ‘hot’, lidahnya ‘berzikir’ Oppa Gangnam tanpa henti, matanya begitu ‘menikmati’ keindahan ciptaan Tuhan pada susuk tubuh Adam dan Hawa di depan mata. Adakah itu namanya CINTA kepada Yang Maha Esa??? Adakah itu dikira sensitif pada agama?

Bleh blah lah luuu!!!…

“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah tuhan selain Allah sebagai tandingan, yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah…” – [Surah AlBaqarah 2: 165]

##################################################

Dalam kehidupan ini, kita memerlukan manual dan peraturan yang sesuai dengan fitrah kita samalah sepertimana perlunya sebuah kereta mewah pada penggunaan yang berdasarkan manual pengeluar dan mematuhi peraturan jalan raya agar tidak rosak. Manusia telah dianugerahkan Allah dengan fitrahnya yang mampu membezakan antara kebaikan dan kejahatan, maka hendaklah dia sentiasa memelihara dirinya daripada didihan api neraka dengan mengikuti panduan yang tidak ada kebengkokan dan sebarang keraguan padanya (Al-Quran).

“Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya. Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Pasti berjaya orang yang menyucikannya (jiwa itu). Dan pasti rugi orang yang mengotorinya.” – [Surah AsSyams 91: 7-10]

 

“Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan Kitab (Al-Quran) kepada hambaNya dan tidak menjadikannya bengkok. Sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan tentang seksa yang sangat pedih dari sisiNya dan memberikan khabar gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan kebajikan bahawa mereka akan mendapat balasan yang baik.” – [Surah AlKahfi 18: 1-2]

 

Kesimpulannya, solusi kepada permasalahan (sikap pentingkan diri dan ‘Aku lebih baik daripada kau’) ialah:-

1. Memperbanyak tadabbur Al-Quran.

2. Berlapang dada apabila ditegur dan dinasihati.

3. Meletakkan sikap sensitif pada tempatnya.

4. Saling menasihati antara satu sama lain ke arah kebaikan.

5. Buat ‘checklist’ imaan sebelum tidur. (Jangan perasan diri kau SUCI!)

“…Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui tentang orang yang bertakwa.”– [Surah anNajm 53: 32]

Ciri Peribadi Seorang Muslim

Credits

 

Wallahua’lam.