Tag Archives: al-‘araf

Ini Cerita Kera Beriman

Di bawah satu pohon kelapa, Man si pengembala sedang  baring berehat di atas buaian jaring yang diikat pada batang pokok. Sang suria mula menampakkan sinarnya. Sayup-sayup kedengaran bunyi kicauan burung.  Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa begitu mengasyikkan. Tiba-tiba…

Gedebuukk!!!…

Seekor kera terjatuh ke atas tanah, terlepas gayutannya dari pelepah pokok kelapa. Barangkali kerana terlalu asyik dibuai angin agaknya.

Man yang dari tadi memerhati gerak-geri kera itu, tersengih seorang diri. Begitulah juga dengan manusia ini. Jika iman itu tidak diuji dengan ‘angin kencang’, ia akan jatuh menjunam hingga terlepas pegangannya dari tali agama Allah. Iman yang  hanya diuji dengan ‘angin sepoi-sepoi bahasa’, akan mudah terleka seperti lekanya seekor kera yang dibuai angin. Akhirnya terlepas pegangannya dari pelepah kelapa.

“Adakah patut manusia itu dibiarkan berkata, “Kami beriman.” sedangkan mereka masih belum diuji (dengan sebarang ujian)?”  – Surah Al-Ankabut: 2

Dalam pada kita sedang bermujahadah berusaha mendekatkan diri kepada Allah, kita mungkin terlepas pandang satu aspek. Iaitu membezakan antara proses dan matlamat. Mungkin hari ini, ketika begitu ramai golongan artis di Malaysia mula berhijrah kembali kepada fitrah, kita juga terdetik untuk mula mendekati Allah. Tetapi jangan sampai Islam itu hanya dirasakan sebagai suatu trend atau budaya hingga menyebabkan hilangnya kemanisan iman.

Ramai orang menyangka, yang solat cukup 5 waktu itu baik. Yang tutup aurat itu baik. Yang pergi haji itu baik. Yang hafaz 30 juzu’ Al-Qur’an juga baik. Sedangkan itu bukanlah PETANDA BAIK!

Kenapa?

Sebab dalam realiti kehidupan, ramai sahaja orang yang solat tetapi butir bicaranya penuh nista dan sesat. Pergi haji berkali-kali tetapi di pejabat dialah ketua segala korupsi. Hebat menghafaz Al-Quran tetapi melihat perangainya sahaja sudah cukup memualkan. Apakah ini “petanda baik” untuk ummat?

Tidak sama sekali! Kadang-kadang kita ‘terperangkap’ dalam perjalanan proses melaksanakan syari’at sehingga seolah-olah itu yang menjadi matlamat. Bukalah mata hati, dan fahamilah…

Solat, zakat, puasa dan haji bukan bukti kita muslim yang sejati tetapi itu adalah PROSES untuk kita membentuk diri menjadi muslim sejati. Matlamat kita sebenar adalah redha Allah, menjadi hamba Allah yang memberi banyak manfaat kepada masyarakat. “Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain.” – (Hadith riwayat Al-Baihaqi, Sahih Al-Jami’ Al-Shaghir wa Ziyadatihi, al-Maktab al-Islami, cetakan ke-3, Beirut, 1408H, no: 3289)

Kesimpulannya, jagalah iman kita sebaik-baiknya kerana tiada nikmat yang lebih berharga daripada nikmat menjadi seorang muslim yang beriman. Kemanisan iman itu tidak ada tolok bandingnya. Harta dan jiwa kita akan dibeli oleh Allah dengan bayaran syurga yang indahnya tidak mampu dibayangkan oleh sesiapa pun.  Orang muda-muda kata, “Aku tengok pun speechless!”. Jangan jadi seperti kera yang dibuai angin. Kencang angin, kuatlah pegangan gayutannya, sebaliknya jika angin itu bertiup sepoi-sepoi, dia terleka lalu terjatuh ke tanah.

“Dan sesungguhnya kami isikan neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” – Surah Al-‘Araf 7: 179

Wallahua’lam.

RUJUKAN:

i. Movie Sang Murabbi (Indonesia)

ii. http://www.utem.edu.my/pusatislam/index.php?option=com_content&task=view&id=109&Itemid=143

iii.  http://i284.photobucket.com/albums/ll12/ancanugie/kera.jpg