Ini Cerita Kera Beriman

Di bawah satu pohon kelapa, Man si pengembala sedang  baring berehat di atas buaian jaring yang diikat pada batang pokok. Sang suria mula menampakkan sinarnya. Sayup-sayup kedengaran bunyi kicauan burung.  Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa begitu mengasyikkan. Tiba-tiba…

Gedebuukk!!!…

Seekor kera terjatuh ke atas tanah, terlepas gayutannya dari pelepah pokok kelapa. Barangkali kerana terlalu asyik dibuai angin agaknya.

Man yang dari tadi memerhati gerak-geri kera itu, tersengih seorang diri. Begitulah juga dengan manusia ini. Jika iman itu tidak diuji dengan ‘angin kencang’, ia akan jatuh menjunam hingga terlepas pegangannya dari tali agama Allah. Iman yang  hanya diuji dengan ‘angin sepoi-sepoi bahasa’, akan mudah terleka seperti lekanya seekor kera yang dibuai angin. Akhirnya terlepas pegangannya dari pelepah kelapa.

“Adakah patut manusia itu dibiarkan berkata, “Kami beriman.” sedangkan mereka masih belum diuji (dengan sebarang ujian)?”  – Surah Al-Ankabut: 2

Dalam pada kita sedang bermujahadah berusaha mendekatkan diri kepada Allah, kita mungkin terlepas pandang satu aspek. Iaitu membezakan antara proses dan matlamat. Mungkin hari ini, ketika begitu ramai golongan artis di Malaysia mula berhijrah kembali kepada fitrah, kita juga terdetik untuk mula mendekati Allah. Tetapi jangan sampai Islam itu hanya dirasakan sebagai suatu trend atau budaya hingga menyebabkan hilangnya kemanisan iman.

Ramai orang menyangka, yang solat cukup 5 waktu itu baik. Yang tutup aurat itu baik. Yang pergi haji itu baik. Yang hafaz 30 juzu’ Al-Qur’an juga baik. Sedangkan itu bukanlah PETANDA BAIK!

Kenapa?

Sebab dalam realiti kehidupan, ramai sahaja orang yang solat tetapi butir bicaranya penuh nista dan sesat. Pergi haji berkali-kali tetapi di pejabat dialah ketua segala korupsi. Hebat menghafaz Al-Quran tetapi melihat perangainya sahaja sudah cukup memualkan. Apakah ini “petanda baik” untuk ummat?

Tidak sama sekali! Kadang-kadang kita ‘terperangkap’ dalam perjalanan proses melaksanakan syari’at sehingga seolah-olah itu yang menjadi matlamat. Bukalah mata hati, dan fahamilah…

Solat, zakat, puasa dan haji bukan bukti kita muslim yang sejati tetapi itu adalah PROSES untuk kita membentuk diri menjadi muslim sejati. Matlamat kita sebenar adalah redha Allah, menjadi hamba Allah yang memberi banyak manfaat kepada masyarakat. “Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain.” – (Hadith riwayat Al-Baihaqi, Sahih Al-Jami’ Al-Shaghir wa Ziyadatihi, al-Maktab al-Islami, cetakan ke-3, Beirut, 1408H, no: 3289)

Kesimpulannya, jagalah iman kita sebaik-baiknya kerana tiada nikmat yang lebih berharga daripada nikmat menjadi seorang muslim yang beriman. Kemanisan iman itu tidak ada tolok bandingnya. Harta dan jiwa kita akan dibeli oleh Allah dengan bayaran syurga yang indahnya tidak mampu dibayangkan oleh sesiapa pun.  Orang muda-muda kata, “Aku tengok pun speechless!”. Jangan jadi seperti kera yang dibuai angin. Kencang angin, kuatlah pegangan gayutannya, sebaliknya jika angin itu bertiup sepoi-sepoi, dia terleka lalu terjatuh ke tanah.

“Dan sesungguhnya kami isikan neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” – Surah Al-‘Araf 7: 179

Wallahua’lam.

RUJUKAN:

i. Movie Sang Murabbi (Indonesia)

ii. http://www.utem.edu.my/pusatislam/index.php?option=com_content&task=view&id=109&Itemid=143

iii.  http://i284.photobucket.com/albums/ll12/ancanugie/kera.jpg

PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI MURID SEKOLAH

 Kak Nur, kenapa cikgu kita kata “An apple a day keeps a doctor away” tapi bila kita jawab soalan, kita kata “An orange a day keeps a doctor away” jawapan tu salah? Bukan ke betul jugak sebab lepas ‘an’ kan kita guna ‘vowels’ dan kalau makan ‘orange’ pun sihat jugak. Kenapa pulak salah? Kita tak faham betul lah!

 “Syafiq tak tanya cikgu kenapa ke?”

 “Alah, kawan-kawan lain dah Tanya dah, tapi cikgu kata ‘Sebab saya memang belajar macam tu’.”

 …

 Pertanyaan daripada seorang budak yang berumur 11 tahun itu telah mengejutkan neuron-neuron aku daripada tidurnya. Sekali dengar macam lucu pun ada tapi bila difikir-fikir semula soalan ini begitu penting untuk kita mengambil peduli dan menganalisa apakah yang terjadi pada system pendidikan hari ini. Ibarat telur dan ayam yang saling berkitar antara satu sama lain, begitu juga system pendidikan dan masyarakat hari ini. Pendidikan yang baik datang daripada masyarakat yang mempunya cara fikir yang mantap dan masyarakata yang mempunya cara fikir yang mantap datangnya daripada hasil system pendidikan yang baik.

 Bagaimana seorang budak yang sedang membesar itu mampu untuk berfikiran kreatif dan kritis jika pendidikan yang sebegini rupa berterusan sepanjang hayatnya di sekolah-sekolah di Malaysia? Mana mungkin akan mampu melahirkan ummah yang mempunyai daya inkuiri yang tinggi kerana awal-awal lagi bakatnya dalam pemikiran kritis telah ‘dibunuh’ oleh masyarakat.

 Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk merendah-rendahkan kredibiliti para guru sekolah tetapi sekadar ingin membangkitkan kesedaran masyarakat bahawa tidak wajar bagi ibu bapa hanya mengharapkan pendidikan di sekolah untuk menjadikan anak mereka itu seorang manusia yang bermanusia. Kadangkala sikap lepas tangan ibu bapa ini telah memburukkan lagi keadaan sehingga anak-anak terasa dirinya terabai. Lalu mereka mencari keseronokan di luar yang kebanyakannya menghancurkan diri mereka semula.

 Itu soal peranan ibu bapa. Tetapi bagaimana pula sebagai seorang belia? Sebagai kakak dan abang? Sebagai senior di sekolah dan di kolej? Isu ini perlu diambil berat oleh semua orang. Mungkin orang seperti saya yang masih belum punya pengalaman sebagai ibu bapa tidak layak untuk mempertikaikan peranan ibu bapa ini. Tetapi sebagai seorang anak muda yang banyak bergaul dengan anak-anak kecil dari pelbagai latar belakang tentu sekali saya sangat memandang serius tentang isu ini.

 Ya, benar kami anak muda tidak ada kuasa untuk mengubah paradigma para ibu bapa yang jauh lebih berusia dan banyak makan garam daripada kami. Maka atas sebab itu, saya ingin memanggil dan menyeru semua anak muda di luar sana agar lebih prihatin terhadap adik-adik kita baik di rumah mahupun adik-adik junior di sekolah dan kolej universiti. Mari kita bersama-sama menyelamatkan mereka daripada kes ‘pembunuhan’ beramai-ramai ini.

 Caranya?

 Pertama, bersabarlah dalam mendidik dan melayani karenah mereka yang terlalu banyak bertanya.

Kedua, persiapkanlah diri kita dengan pelbagai bidang ilmu agar kita mampu membalas kembali ‘tembakan-tembakan’ soalan daripada mereka.

 Ketiga, berusahalah untuk sentiasa memahami potensi dan kehendak mereka. Jangan paksa mereka melakukan sesuatu tanpa menerangkan sebab-musababnya. Kerana anak-anak kecil zaman iPad ini semakin bijak dan tidak mahu melakukan sesuatu yang mereka tidak nampak kelebihannya ke atas diri mereka.

 Terakhir, berhentilah daripada menjadi ‘pembunuh’ mereka dengan sikap ‘judgemental’ kita terhadap mereka yakni sikap suka melabel anak dengan label yang membawa konotasi negatif seperti ‘lembap’, ‘bodoh’, ‘nakal’ dan sebagainya. Kerana ini akan menyebabkan mereka lebih menjauhkan diri daripada kita dan akhirnya terjebak pula ke dalam masalah sosial yang lain. Mereka ini bersih dan kitalah yang mencorakkan mereka.

 Kebanyakan anak yang tidak mendapat jawapan daripada ibu bapa dan keluarga mengenai segala persoalan kehidupan yang bermain di fikiran ini akan berusaha mendapatkannya melalui cara lain. Anak-anak kecil ini berisiko mendapat maklumat yang salah daripada media massa dan rakan-rakan mereka. Implikasinya akan menyebabkan jiwa mereka yang sedia bersih itu menjadi kotor dengan pelbagai ideologi sesat lagi menyesatkan dan idea-idea kuning.

 Oleh yang demikian, sebagai masyarakat muslim yang prihatin terhadap pembentukan akhlak dan pemikiran golongan muda, kita perlu bekerja keras menyelamatkan anak-anak ini sebelum mereka jauh tersimpang. Ingatlah bahawa matlamat pendidikan yang hakiki itu bukannya terletak pada berapa banyak bilangan A+ yang boleh dimiliki dan bukan juga pada pointer gred yang tertulis pada slip keputusan, tetapi matlamat ilmu dan pendidikan itu adalah pada menyampaikan kita kepada kebenaran, keimanan dan kecintaan yang tertinggi yakni hanya kepada Allah dan Rasulullah sallallahu ‘alahi wassalam.

“Jangan sampai dosa yang ada pada kita menjadi hijab untuk kita mendapat hidayah taufiq daripada Allah dan jangan sampai dosa kita jadi hijab untuk kita sebarkan keindahan Islam (melalui pendidikan).” – Murabbi

Saya bermohon kepada Allah subhanahu wa ta’ala agar segala penulisan saya di sini memberi manfaat kepada sesiapa yang membacanya dan semoga Allah memimpin kita ke jalan yang diredhaiNya.

 Wallahua’lam.

IBRAH 2: Syirik Zaman Millenium

And [mention, O Muhammad], when Luqman said to his son while he was instructing him, “O my son, do not associate [anything] with Allah . Indeed, association [with him] is great injustice.” 

Percaya atau tidak, walaupun surah Luqman ini diturunkan ketika masyarakat Arab jahiliyyah masih mengamalkan ajaran nenek moyang mereka – menyembah berhala; syirik yang dikatakan itu masih wujud hingga ke zaman iPhone dan iPad ini.  Mungkinlah ia tidak seketara 1400 tahun dahulu, tetapi kesannya masih tetap sama dahsyatnya. “…Sesungguhnya mensyirikkan Allah itu adalah kezaliman yang besar!”

“Kau rapat-rapatlah sikit dengan Tan Sri tu. Mana tau besok-besok senang sikit dapat projek. Jolok-jolok ler sikit. Kau kan pandai bodek. Tan Sri tu lubuk emas, kau jangan tak tau.”

“Tapi aku tak berapa suka ler dengan perangai kaki perempuan dia tu. Seteruk-teruk aku pun, aku tak main perempuan tau. Kuat merasuah plak tu.”

“Alah..itu lantak dialah. Yang penting engkau, masyuuk. Dalam business kita ni, dia nombor satu. Saham semua dia yang pegang. Kau jangan bendul sangat. Ini zaman millenium lah, bro. Semua mau pakai wang. Kalau kau tunjuk ‘alim sangat tak ke manalah.”

Itulah kata-kata yang mungkin sekali diucapkan oleh seorang manusia yang tidak yakin bahawa segala yang ada di langit dan di bumi adalah dalam genggamanNya. Dia berpendapat manusia yang memegang kunci pintu rezekinya sedangkan manusia itu sebenarnya hanyalah perantara.

Bukanlah ber-‘networking’ itu tidak penting, malah Rasulullah juga menggalakkan kita ber-‘networking’ (bersilaturrahim) kerana silaturrahim itu dapat memanjangkan umur dan memurahkan rezeki. Tetapi itu bukan lesen untuk kita meletakkan ‘keimanan’ kita kepada manusia yang juga sama lemahnya dengan kita.

Keyakinan yang seolah-olah ada makhluk lain yang ‘menongkat’ dunia sedangkan jika Allah tidak mengizinkan si makhluk itu menyuapkan nasi ke mulutnya, maka takkan mampu dia menyuapkan nasi itu sekalipun dia seorang raja mahupun Tan Sri! Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara, makhluk sememangnya tidak punya kuasa apa-apa.

Bergantung hanya kepada Allah ibarat bergantung pada dahan yang kukuh.

Lebih malang lagi apabila syirik yang dianggap mulia oleh sesetengah golongan itu membawa kezaliman yang lebih besar lagi. Secara tidak langsung, orang yang mensyirikkan Allah itu telah menyokong kezaliman bukan sahaja ke atas makhluk Allah yang lain tetapi kezaliman kepada dirinya sendiri kerana tidak meletakkan hak Allah pada tempatnya. Akhirnya, runtuhlah empayar agung yang dibina, binasalah diri yang bergantung pada manusia.

Penulisan ini bukanlah dibuat sesuka hati tanpa analisa terlebih dahulu. Akal yang dipandu dengan iman akan mampu melihat kebenaran dengan izin Allah. Cuba kita lihat berapa buah negara yang telah muflis atau cenderung ke arah itu akibat mensyirikkan Allah?  Akibat Terpedaya dengan ideologi kapitalisme.

Saya mengaku saya bukanlah orang yang layak untuk membincangkan isu ekonomi dunia dengan terperinci dan data ini telah saya ambil daripada http://www.thecomingdepression.net/countries/north-america/real-list-of-countries-on-verge-of-bankruptcy/#axzz1u8XgMarS   Ia masih boleh diperdebatkan kesahihannya. Walau bagaimanapun, mari kita ambil ia dari sisi positif untuk penelitian bersama.

Isu dan data yang sama turut dibahaskan oleh Dr. Zaharuddin Abd. Rahman, pakar kewangan Islam negara semasa Muktamar Kepimpinan Belia Islam Malaysia 2012 di Pusat Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebenarnya jika ingin dihubungkaitkan antara syirik dan kezaliman ini, ada banyak contoh yang hampir dengan kehidupan seharian kita yang boleh dijadikan pengajaran. Negara kita pun sekarang sedang terumbang – ambing ke arah yang sama. Mungkin sekali – sekala ada baiknya kita ditempelak dengan ayat:

“Afala tatafakkaruun”  [ Tidakkah kamu berfikir? ]

“Afala ta’qiluun” [ Tidakkah kamu menggunakan akal? ]

Sesungguhnya agama Islam ini hanya untuk orang yang mahu berfikir dengan akal dan iman. Jangan hanya pandai ber-retorik dengan mengatakan “Kembalilah kepada Al-Quran dan Sunnah.” tetapi fikirkan juga praktikalnya bagaimana agar manifesto yang dilaung-laungkan bukan sekadar omong kosong.

Wallahua’lam.

SUMBER:

1. Seminar Pembinaan Karakter berteraskan Surah Luqman anjuran Akademi Sinergi.

2. Muktamar Kepimpinan Belia Islam Malaysia 2012 anjuran WAMY Malaysia.

3.  http://www.all-quran.com/documents/holy_quran_translation.html

4. http://www.thecomingdepression.net/countries/north-america/real-list-of-countries-on-verge-of-bankruptcy/#axzz1u8XgMarS

Kegilaan Dean’s List

Hari yang dinanti dengan penuh debaran telah pun tiba. 27 April 2012, laman sesawang portal pelajar UiTM tiba-tiba mengalami ‘kesesakan trafik’. Ada yang ‘hujan’ tak kurang juga yang senyumnya lebih bersinar dari sinaran mentari. Perkara pertama yang akan dilihat oleh seorang pelajar, tentunya baris-baris akhir slip keputusan. Dean’s List ataukah sebaliknya?

Syukur apabila menerima nikmat itu lumrah tetapi syukur apabila menerima ‘musibah’ itu kelihatannya agak payah. Kerana seringkali insan yang bernama pelajar ini lebih mudah ingat pada nikmat berbanding pada Pemberi nikmat. Namun, seorang HAMBA itu akan sentiasa bersyukur sama ada di hadapannya itu nikmat ataupun nikmat yang dilihatnya sebagai musibah.

Seandainya setiap daripada kita ini mampu melihat hidup ini dari kacamata seorang hamba, tentunya tiada lagi resah dan kecewa kerana tidak berjaya ‘memiliki’ apa yang sememangnya bukan milik kita. Seorang hamba itu sifatnya miskin sentiasa, sentiasa meminta-minta kepada Tuannya, dan tidak mampu memiliki walau harta yang sekecil-kecil debu sekalipun.

Anehnya hamba zaman millenium ini lebih tergila-gilakan ‘harta’ yang ‘dimiliki’ oleh seorang hamba yang lain. Meminta diberikan penganugerahan tanpa pernah merasa puas. Malah hamba zaman millenium ini juga seringkali tertipu dengan kekayaan yang terzahir di depan matanya. Sedangkan dia tahu bahawa itu semua fatamorgana belaka. Alangkah jahil dan ruginya si hamba apabila meminta pada yang miskin tentulah tidak akan memperoleh apapun melainkan  cacian semata, kalau adapun habuan hanya yang bersifat sementara sahaja.  Sehingga telapak tangan itu dibolak-balikkan lantaran sedih yang tak terhingga tidak memperoleh harta yang diimpikan. Sedangkan Yang Maha Kaya sentiasa menanti-nanti bilakah si hamba yang miskin ini ingin meminta kepadaNya.

Dialah yang Maha Kaya bukan kerana segunung emas yang dimilikiNya tetapi Dia itu Maha Kaya – AlGhaniyy sifatnya kerana Dia langsung tidak berkehendakkan hamba-hambaNya sedangkan hamba-hambaNya lah yang memerlukan Dia setiap waktu. Alangkah ruginya bagi insan yang bernama pelajar itu dalam kesibukannya mengejar Dean’s List, dia terlupa ada lagi satu senarai yang sepatutnya dia kejarkan agar di dalam ‘senarai’ itu tertulis namanya. Ia adalah Allah’s List. Terdapat dalam satu hadith yang masyhur;

Sabda Rasulullah SAW : Bila Allah mencintai seorang hamba, maka Allah berseru kepada Jibril: “Sesungguhnya Allah mencintai Fulan, maka cintailah dia.” Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril berseru kepada penghuni langit: ”Sesungguhnya Allah mencintai Fulan, maka kalian cintailah dia.” Penghuni langitpun mencintainya. Kemudian ditanamkanlah cinta penghuni bumi kepadanya.”

(HR Bukhari 5580)

Tidakkah si hamba itu mengetahui bahawa segala makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa bertasbih dan mendoakan hamba-hamba yang akrab dengan majlis ilmu? Dan tidakkah si hamba itu mengetahui terdapat satu hadith yang menyebutkan kelebihan orang yang berusaha menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh itu akan dipermudahkan baginya satu jalan ke syurga? Bayangkan berapa luas jalan ke syurga yang telah dipermudahkan bagi si hamba setiap kali si hamba itu melangkah ke kuliah ilmu.

Tidakkah si hamba itu juga mengetahui bahawa di sebalik setiap kesusahan itu pasti adanya kejayaan? Tidakkah si hamba itu mentadabbur ayat-ayat cinta yang Maha Kaya dalam Surah Al-Insyirah? Dalam tafsiran surah itu membawa maksud bahawa nisbah 1 ujian atau kesukaran itu bersamaan dengan 2 kesenangan dan kejayaan. Tidakkah si hamba zaman millenium itu memahami yang sebenarnya jika Dia ‘menarik’ sesuatu lalu menguji hambaNya dengan satu ujian, tandanya Dia begitu menyayangi hambaNya yang terpilih itu. Kerana dalam ujian itu, pasti akan adanya kejayaan yang lebih besar, hebat dan tidak tergambar oleh hambaNya itu.

Lalu tidakkah si hamba itu mahu bersujud syukur kepadaNya atas rahmat yang tidak terhingga itu? Awal-awal lagi Dia telah memberi isyarat kepada hambaNya seolah-olah ingin mengatakan: “Bersedialah kamu. Sesungguhnya ada kejayaan yang sangat gemilang sedang menantimu di hadapan…”

Orang yang bersyukur sentiasa malu untuk ‘dimiliki’ selain oleh Allah. Apabila manusia tidak merasakan memiliki dan dimiliki, hatinya subur dengan syukur. Itulah kemuncak ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Ingat Pemberi Nikmat bukan hanya nikmat-Nya.

 -[Solusi Isu No. 43]

Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi berada dalam genggamanNya.  Bersyukurlah, bersyukurlah dan bersyukurlah kerana di situ terdapat kebahagiaan yang didamba-dambakan oleh setiap insan.

Ibrah 1: Syukur Meningkatkan atau Menurunkan Produktiviti?

Pada 21 – 22 April 2012, dengan izin Allah, saya telah menghadiri Seminar Pembangunan Karakter Berteraskan Surah Luqman bertempat di Auditorium Pengajian Islam, Universiti Malaya.  Seminar ini dianjurkan oleh Akademi Sinergi dan panelnya ialah Al-Fadhil Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, penulis buku best-seller Aku Terima Nikahnya merangkap penulis laman sesawang saifulislam.com Terlebih dahulu ribuan terima kasih kepada pihak Akademi Sinergi kerana telah bermurah hati membiayai saya dan peserta-peserta lain yang memohon biasiswa akademi. Semoga Allah membalas jasa baik kalian dengan kebaikan yang berlipat kali ganda. Aamiin.

Pada hari pertama, perbincangannya banyak berkisar tentang pengenalan surah dan wasiat pertama Luqman alHakim kepada anaknya. Rumusnya boleh disimpulkan seperti berikut:-

Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk kepada manusia. Membacanya sahaja tanpa mengambil ibrah samalah seperti mereka yang punya hati tetapi tidak mahu memahami, punya mata tetapi tidak mahu melihat, punya telinga tetapi tidak mahu mendengar. Mereka seperti binatang ternakan bahkan jauh lebih sesat lagi. Begitulah perumpamaan buat manusia yang tidak mahu menggunakan kelebihan pancaindera yang dianugerahkan kepadanya untuk mengambil ibrah (pengajaran) dalam hidup. Ia tersebut dalam surah Al-A’raf : 179.

Ibrah boleh didefinisikan sebagai mengaitkan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Contohnya, jambatan yang menghubungkan antara tebing A dan tebing B disebut ‘a-ba-ra dalam bahasa Arab kerana sifat jambatan itu yang berkait antara satu sama lain.

'a-ba-ra

 Oleh itu, ayat Al-Quran ini tidaklah dikatakan ibrah untuk kita semua melainkan kita menghubung kaitkan antara ayat tersebut dengan kehidupan kita seharian. Kata Ustaz Hasrizal, “Untuk kaitkan dengan kehidupan memang mudah tetapi kita biasanya lebih kerap mengaitkannya dengan orang lain berbanding mengaitkannya (muhasabah) dengan diri kita sendiri.”

Pembangunan manusia yang holistik perlulah mencakupi segenap aspek fizikal, intelektual, emosional dan spiritual. Kesemuanya perlu seimbang. Mengapa pembangunan karakter ini sangat penting?

Diberikan satu analogi antara sebuah rumah, tangga dan manusia, yang manakah sumber kebahagiaan? Tentu sekali, manusia di dalam rumah itu yang akan menjadi sumber kebahagiaan. Boleh jadi rumah itu kecil tetapi ahli di dalamnya sangat bahagia kerana manusia yang berakhlak tinggal di dalamnya dan boleh jadi rumah itu besar tetapi penghuni di dalamnya berasa sangat sengsara lantaran penghuni rumah yang buruk perangainya.

Rumah = Matlamat yang dituju

Tangga = Mesin / alat mencapai matlamat

Manusia = Sumber utama / Kausa Prima

Sebab itulah, pembangunan karakter yang bertepatan dengan Al-Quran adalah sangat penting dalam membina ummah yang hidup harmoni.

Dalam Surah Luqman 31 : 12, Allah telah berfirman yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, AL-HIKMAH: Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu). Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

Hikmah sering dikaitkan dengan kebijaksanaan atau ‘wisdom’. Namun itu masih belum menggambarkan tafsiran penuh AL-HIKMAH yang dimaksudkan dalam Al-Quran.

Ringkasnya, nasihat atau sesuatu yang hikmah perlulah memiliki 4 unsur utama:

i. Al- Ma’rifah > Gambaran yang jelas tentang subjek yang dibincangkan.

ii. Isabah al-haq bi al-ilm wa al-aql > Menyampaikan seseorang itu kepada kebenaran melalui sinergi ilmu dan akal (proses berfikir)

iii. Al-Man’u > Menghalang seseorang daripada kejahatan.

iv. Al-Fi’l > Berorientasikan tindakan yang praktikal dan merangsang orang lain untuk bertindak dengan praktikal.

Kesimpulannya, AL-HIKMAH itu ialah “Kata-kata yang sesuai untuk orang yang sesuai pada waktu yang sesuai dengan kadar yang sesuai menggunakan kaedah yang sesuai.”  – KETEPATAN –

Walau bagaimanapun, perlu untuk kita sedari bahawa AL-HIKMAH itu tidak datang melainkan daripada Allah kerana ia telah disebut 20 kali dalam Al-Quran bahawa AL-HIKMAH adalah daripada Allah. Misalnya, dalam Surah Al-Baqarah : 231, Al-Baqarah : 251, Al-‘Imran : 48 dan lain-lain lagi.

Maka, mendapat Al-Hikmah daripada ajaran Rasulullah SAW adalah sebesar-besar kebaikan buat seorang mukmin. Ianya boleh dipelajari dan bukanlah ekslusif hanya untuk golongan tertentu sahaja kerana Rasulullah sendiri ditugaskan untuk mengajar al-Hikmah kepada orang mukmin. 

Daripada pengamatan tersebut bolehlah disimpulkan bahawa yang dimaksudkan dengan BERDAKWAH DENGAN HIKMAH, ia melalui beberapa proses.

i. Memberitahu melalui kata-kata (Delivery)

ii. Memasukkan dengan tindakan dan emosi yang sesuai (Internalization)

iii. Tindakan yang sesuai dengan keadaan dan tahap pemikiran individu (Praktikal)

[Tell, Show, How, Review] – Proses Mengajar Al-Hikmah

# Analogi Situasi #

Komunikasi dengan anak berusia 3 tahun menggunakan teknik ‘delivery’ :

“Jom habiskan nasi ni sebab kalau tak habis, membazir. Nanti Allah tak suka.”

[Memberi arahan yang mudah difahami.]

Komunikasi dengan anak berusia 6 tahun menggunakan teknik ‘internalization’:

“Pinggan pecah ni siapa yang pecahkan? Kenapa pecah? Kalau dengan ayah ibu, mungkin adik boleh tipu, tapi dengan Allah, tak sekali-kali kita dapat tipu.”

[Mengajak mereka berfikir melalui perbuatan dan emosi serta memasukkan pemikiran dan kepercayaan dalam diri mereka bahawa Allah itu Maha Melihat   dan Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.]

Syarat utama ialah nasihat atau perbuatan mestilah praktikal mengikut usia dan pemikiran individu yang didekati serta menjadikan Allah sebagai puncak ketaatan. Apabila seseorang itu mampu taat kepada perintah Allah secara automatik, dia akan taat kepada ibu bapa / majikan / pemimpinnya kerana itulah sunnatullah alam.

Seterusnya jika diteliti tafsiran Surah Luqman : 12, juga ada disebutkan tentang syukur selepas perkataan Al-Hikmah. Ini bermaksud Al-Hikmah juga boleh didefinisikan sebagai keupayaan melihat nikmat atau mendapat apa-apa sahaja yang menjadikan kita bersyukur kerana syukur dan hikmah itu datang dalam bentuk kitaran. Orang yang mendapat Al-Hikmah akan bersyukur. Dan orang yang bersyukur akan ditambah Al-Hikmah kepadanya.

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. – [Surah Ibrahim 14 : 7]

Kesan daripada sifat syukur inilah lahirnya insan yang produktif kerana syukur ini akan terkesan pada hati, lisan dan tubuh. Hati yang bersyukur akan sentiasa memahami hikmah di sebalik setiap kejadian sama ada baik atau buruk pada zahirnya. Lisan yang bersyukur akan sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan memuji Pemberi nikmat. Tiada lagi kedengaran carutan dan maki hamun. Manakalah tubuh yang bersyukur akan sentiasa bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk PenciptaNya dan memberi manfaat kepada ummah.

Malang sekali bagi yang tidak mahu bersyukur, Allah mengatakan itu tidaklah menjadi kerugian bagiNya kerana Dia Maha Kaya. Seolah-olah jika ditafsirkan ke dalam bahasa ‘layman’ , “Kalau mu tak mahu bersyukur, lantak mu lah kerana aku tak perlukan mu pun sebenarnya. Tapi mu yang perlukan aku.” Allah Maha Kaya (al-Ghaniyy) itu bermaksud Allah tidak berkehendakkan kepada makhlukNya. Ibarat seorang kaya yang tidak memerlukan orang miskin untuk memberinya wang.

Demikianlah perbincangan mengenai konsep syukur dan Al-Hikmah dalam Surah Luqman yang boleh dijadikan ibrah buat kita. Sebenarnya ada banyak lagi yang masih belum diselitkan di sini. InsyaAllah, akan cuba dikongsikan bersama melalui artikel-artikel seterusnya. Sekiranya ada sebarang komen / pembetulan, ianya adalah amat dialu-alukan.

Wallahua’lam.

SUMBER:  Seminar Pembangunan Karakter Berteraskan Surah Luqman anjuran Akademi Sinergi

ISLAM AGAMA ANTI-SEGALANYA

Islam bukan agama yang SEGALANYA HARAM. Anti itu dan anti ini. Sebaliknya Islam agama yang sangat indah dan mengikut fitrah. Sayang adakalanya umat Islam itu sendiri yang salah erti dengan Islam. Ini membuatkan Islam itu hanya kelihatan pada majlis-majlis tertentu, aspek-aspek tertentu tetapi tidak sebagai keseluruhan cara hidup.

Saya bukan seorang yang anti fesyen, bukan juga anti kemodenan. Malah saya adalah seorang yang cintakan pada kemodenan, kreativiti dan inovasi kerana saya bukan seorang pemikir stereotaip. Dalam pada itu, saya punya prinsip saya sendiri sebagai seorang muslim dan sebagai daie’. Bukankah Islam itu agama termoden, terhebat, dan tercantik? Perlukah kita pada model-model yang lain selain daripada Islam itu sendiri?

Tadi saya menonton satu rancangan televisyen tempatan berkenaan fesyen. Walaupun bukan minat saya, tetapi adakalanya penting juga untuk kita tonton subjek seperti ini buat ‘perencah’ borak di meja kopi bersama kawan-kawan yang belum sefikrah. Mungkin hari ini mereka tidak sefikrah dengan kita, mungkin esok siapa yang tahu?

Bila tengok rancangan fesyen tersebut, saya terfikir kenapa kita sibuk nak ikut  Barat dari sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecil perkara seperti etika makan dan berpakaian? Bukanlah ini bermaksud Islam menolak segala yang datang dari Barat tetapi cukuplah sekadar mengambil apa yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan ummah. Mungkin pernah terdetik di hati kita, “Ini baru dikira moden.” Beristighfarlah, adakah kita cuba mengatakan bahawa pakaian yang seksi, tidak menutup aurat itu moden? Dan yang mengikut syari’at itu kolot?

Kembalilah kepada sirah tamadun Islam. Sebelum kedatangan Islam bagaimanakah cara hidup di Timur dan di Barat? Islam yang membawa kemodenan sedangkan ketika itu Eropah masih mengalami Zaman Kegelapan. Bukankah Islam itulah yang paling moden?

Semalam saya ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Saya sangat tertarik dengan fesyen busana muslimah yang dijual di booth – booth jualan di situ. Saya sendiri membeli sehelai tudung fesyen terbaru yang boleh dijadikan 2 dalam 1 kerana jika dililit, ia akan membentuk tudung berfesyen dan jika dilepaskan lilitan boleh juga dijadikan telekung. Sangat cantik!

Fesyen Muslimah = Fesyen Termoden

Islam juga bukan anti muzik walaupun tentang muzik dan nyanyian ini terdapat pelbagai pendapat ulama’ tentangnya. Namun, bagi yang berpegang pada pendapat ulama’  yang mengatakan muzik dan nyanyian itu harus selagi tidak membawa kelalaian dan kesyirikan. Kerana hiburan itu fitrah manusia. Siapa kata orang Islam hanya boleh mendengar lagu nasyid yang mendayu, perlahan dan sedih sahaja rentaknya? Kalau nak dengar lagu rock, silakan. Kalau nak dengar hip hop, silakan. Kalau nak dengar K-Pop pun boleh, apa?

TETAPI…

Biarlah liriknya itu, mengingatkan kita kepada Allah. Menambahkan cinta kepada Rasulullah. Meneguhkan kita di jalan Allah. Menaikkan semangat jihad fi sabilillah.

BUKANNYA, yang mengagung-agungkan cinta murahan antara seorang lelaki dan perempuan yang tidak halal baginya. Bukan juga terkinja-kinja tak ingat dunia, seolah-olah hidup ini hanya untuk bermain-main sahaja.

INGATLAH, mati itu datang bila-bila masa. Allah menciptakan kita bukan dengan bermain-main kerana kita ini diciptakan untuk menjadi khalifahNya. Pemimpin di muka bumi yang menjalankan syari’atNya dengan bersungguh-sungguh.

Mungkin ada yang berbisik, “Hiburan Islam itu alternatif kita.” Ini bukan soal pilihan tetapi memang mahu atau tidak, Islam tetap nombor satu di hati kita. Pilihan UTAMA!

Secara peribadi, saya terkedu apabila membaca ayat Surah ToHa 20: 124 – 126,

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan pertunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

Dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya celik?”.

Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau mengabaikannya, dan demikianlah engkau pada hari ini diabaikan.”

Tiada yang lebih indah daripada bait-bait kata cintaNya. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami pada jalan yang Engkau redhai.

Celikkan mata hati kita. Islamnya kita bukan hanya pada kad pengenalan, tetapi Islamnya kita, Islam yang punya ‘izzah (rasa penuh bangga) kerana Allah telah menyempurnakan kita dengan Islam agama ANTI-SEGALANYA yang ‘membunuh’ fitrah, menjatuhkan maruah kita.

Berbanggalah hidup sebagai muslim!  ^_^

SUMBER FOTO: https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-snc6/281269_10150269047917605_38760492604_7799975_2790135_n.jpg

Mencari Ubat atau BerTUHANkan Ubat?

Perjalanan dari rumah ke Farmasi Alpha yang sepatutnya hanya mengambil masa 10 minit menjadi lebih daripada 10 minit dek kerana perut yang berkeroncong minta diisi. Saya dan ibu singgah bersarapan sebentar di Restoran Hatinie, Seksyen 10, Shah Alam.  Setelah ‘pekena‘ semangkuk laksam, kami meneruskan misi mencari ubat. Alhamdulillah, moga juadah yang dinikmati tadi menambah ketaatan kami untuk istiqamah di jalan Allah. Amiin.

Akhirnya sampai juga kami ke farmasi. Aku sendiri tidak pasti apa nama jenis ubat yang sesuai untuk penyakit yang ‘satu’ ini. Sudah lama dihidapi sampai tak begitu terasa lagi sakitnya kerana sudah lali dengannya. Aku anggap sahaja mungkin ini kafarah buat dosaku yang lalu. Sakit ini tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan dosa yang aku lakukan. Sedikit tenang bila hati memujuk begitu.

Sampai di kaunter…

“Cik, ubat macam ini ada tak? (sambil menunjuk kepada nama ubat yang tertera pada helaian kertas itu) “, tanyaku pada pembantu farmasi.

“Dia ada banyak jenis, cik. Cuba cik tengok, yang ini ke yang cik cari?” jawab wanita muda itu.

Aku membaca keterangan pada kotak ubat tersebut lalu membandingkan dengan sakit yang ku hidapi ini. Kurang sesuai rasanya.

“Ada ubat lain tak? Rasa macam kurang sesuai je ubat ini dengan saya.”

“Cik sakit apa? Boleh tahu?”

Lalu aku pun berbasa-basi dengannya.

“Kejap ya, cik. Nanti cik cuba tanya pharmacist. Tunggu sekejap, dia kat kaunter.”, ramah betul gaya dia melayan aku sebagai pelanggannya.

“Ya. Ada apa boleh saya bantu?”, kata pharmacist yang ku kira umurnya mungkin baru mencecah suku abad. Dia memandangku dengan mimiknya yang kelihatan sangat mengambil berat.

“Aiyo, ini macam..em. Kesian.”, loghat cinanya kedengaran walaupun bersuara perlahan seolah-olah sedang berfikir sendiri.

Lalu dia menyuruh pembantunya itu mencarikan aku sejenis ubat yang namanya tak dapat aku ‘tangkap’ kerana bukan common name. Kemudian, dia tunjukkan padaku, dan bertanya lagi beberapa tanda untuk mendapatkan kepastian tentang ubat yang sesuai.

Setelah itu, ubat yang difikirkan sesuai diberikan kepadaku dan diminta untuk aku bayar di kaunter hadapan. Jelas pada riak wajahnya, simpati bercampur gembira kerana dapat membantu aku mencari ubat yang sesuai. Kalau tak, terpaksalah aku dan keluarga ‘menapak’ lagi ke KL.

Sejurus kakiku ini menjejak keluar dari farmasi itu, aku seolah-olah dibakar dengan suatu semangat luar biasa. “Aku mesti belajar sains sampai jadi pakar dalam perubatan!” monologku dalam diam. Ini kerana aku melihat daripada insiden tadi, mengapa kebanyakan doktor / ahli farmasi yang aku pergi kalau dia itu Melayu dan yang pentingnya MUSLIM, dia kurang pakar dalam perubatan. Biasanya yang pakar itu terdiri daripada non-muslim yang nama di belakangnya mungkin Wong atau Muthusamy. Nampak sangat fardhu kifayah kita belum terlaksana dengan sempurna.

Aku tidak berniat merendah-rendahkan anak bangsaku sendiri tetapi ini soal perjuangan agama. Dan boleh jadi soal AQIDAH kita juga! KENAPA?

Sebabnya, seringkali aku terserempak dengan insiden di mana seorang pesakit bertanya kepada si penjual ubat.

******************************************************************

Mencari ubat atau berTUHANkan ubat?

“Ubat apa ni, encik?”

“Ini ubat bagus untuk orang sakit kencing manis, darah tinggi, lemah jantung. Cubalah, ramai dah guna ni, puan.”

“Hmm..tapi saya dah biasa guna ubat yang doktor bagi. Boleh ke?”

“Boleh, takde masalah. Cuba puan try satu. Ramai dah cuba ni puan. Lepas sebulan makan ubat ni, terus baik. Takde dah kebas-kebas, sakit belakang. Gula dalam darah dah menurun. Ubat ni mujarab. Bukan saya je yang kata ni, puan. Dah dibuat kajian dah di 30,000 buah hospital di seluruh dunia.”, katanya dengan begitu yakin.

“Mak saya dah pernah guna dah tapi tak baik pun?”

“Tapi yang ini lain, puan. Syarikat kami dah hantar ubat ini untuk penyelidikan oleh saintis – saintis Jepun. Kalau puan tak percaya, puan boleh cuba. Dalam sebulan, mesti baik punya. Paling tidak, ada perubahan sikit.”

*********************************************************************

Bukankah itu secara halus telah menggugat aqidah kita sebagai muslim? Sepatutnya kita hanya percaya bahawa Allah sahaja yang Maha Menyembuhkan segala penyakit bukan ubat itu yang menyembuhkan tetapi Allah yang menyembuhkan kita MELALUI ubat itu. Ubat itu hanyalah medium dan usaha kita. Kerana tawakkal itu bukanlah berserah tanpa usaha tetapi tawakal itu ialah usaha sebaik mungkin, kemudian diserahkan sebulat hati kepada Allah yang Maha Esa.

Sepatutnya sebagai pesakit mahupun penjual ubat, kita mesti mengucapkan “insyaAllah (dengan izin Allah)” bahawa dengan makan ubat itu kita akan sembuh. Segalanya mestilah berpaksikan hanya pada yang SATU. 

ALLAHU AHAD. (Allah yang Tunggal)

Bukannya UBAT yang satu.

Apapun jangan pula salah faham dengan konsep tawakal. Ambilah pengajaran daripada sirah.

Satu hari seorang sahabat datang berjumpa Rasul. Apabila baginda bertanya bagaimana kamu datang, beliau menjawab, menaiki unta. Nabi tanya; di mana unta kamu, beliau menjawab saya biarkan tanpa diikat sebab saya bertawakal kepada Allah. Nabi berkata; ikat unta kamu dulu dan barulah bertawakal.  *

Dengan perjalanan yang tidak sampai pun 24 jam ini, DIA mengizinkan saya belajar agar bertuhankan Allah, 24 JAM. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca juga. InsyaAllah.

Wallahua’lam.

*SUMBER: http://www.ipislam.edu.my/index.php/artikel/read/133/dahului-usaha-sebelum-bertawakal