Category Archives: Isu Ummah

KARYA: SI TEMPANG

SI TEMPANG

Aku si tempang yang berlari,
Hingga tiba di perhentian yang memukau pandangan,
Baru ku tersedar yang aku berseorangan,
Jalan ini perlu ku tempuh melawan arus,
Teman yang dulu seiringan, ada yang telah berlabuh,
Ada juga yang teruskan pelayaran,
Di tengah angin kencang yang kelihatan tidak menguntungkan,
Aku rindukan teman yang sungguh sabar sifatnya dengan aku yang tempang ini,
Terhincut-hincut berjalan sedangkan orang lain telah lama tiba ke destinasi tujuan,
Tapi kerana cahayaNya yang tak pernah padam,
Aku harap kau sudi untuk mendukung aku,
Dan berlari,
Agar panji-panji di tanganku dapat dikibarkan bersama,
Untuk kita pacakkannya ke seluruh dunia!

SEKUEL SI TEMPANG

Seperti anak kecil yang tempang berlari ke pangkuan ibunya,
Aku kembali kepadaMu dengan penuh rasa rindu,
Kau yang Maha Penyayang dari segala yang penyayang,
Lebih sayangkan aku daripada sayangnya seorang ibu kepada si kecil itu,
Bertemu denganMu adalah saat yang paling indah dalam hidupku,
Hilanglah segala resah,
Air mata menderu basah,
Kerana lamanya terpisah,
Kini kembali bertemu,
Hamba menghadap Tuannya,
Si kecil dengan yang Maha Besar,
Meski cintanya tempang,
Sangat tak sempurna,
Tuannya dengan penuh kasih sayang tetap memanggil;

“Wahai jiwa yang tenang!
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhaiNya.
Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu,
Dan masuklah ke dalam syurgaKu.”
(QS 89: 27-30)

Moga si kecil tempang itu adalah aku.

***
Dari hati ke papan kekunci;
TINTA TABIB

Mahmoud, 9 years old a Palestinian child from Gaza City, wounded during Israeli shelling on one of house, hit by a disability, is not able to move and walk and talk ,he faces many difficulties in his life because of his injury. (Source: http://www.demotix.com/news/1197444/palestinian-children-disabled-after-israeli-bombing-face-hardships#media-1197426 )

Mahmoud, 9 years old a Palestinian child from Gaza City, wounded during Israeli shelling on one of house, hit by a disability, is not able to move and walk and talk ,he faces many difficulties in his life because of his injury. (Source: http://www.demotix.com/news/1197444/palestinian-children-disabled-after-israeli-bombing-face-hardships#media-1197426 )

15 NOVEMBER 2013
TERATAK SRI KENANGA, SHAH ALAM.

Memandu di Lorong ‘No Entry’

ZASS!!!…
Sepantas kilat sebuah kereta sports berwarna merah memecut. Lalu dengan perlahan membelok ke kiri menghala ke sebuah jalan kecil.
Tiba-tiba…
“Hey, ini lorong ‘No Entry’ laa..mana boleh lalu sini!” jerit seorang pak cik tua.
“Jangan sibuklah! Saya tahuuu…” balas pemuda berkaca mata hitam, pemilik Ferrari 458 Spider.

Dengan tidak semena-mena,
DUSHHH!!! Kereta yang bernilai RM 2.3 juta itu telah melanggar sebuah palang besi besar yang merintangi jalan. Di sisinya tercatat “AWAS! Proses pembaikan sedang dijalankan.”

PENGAJARAN: Jangan sombong apabila diberi nasihat.

##################################################

Itulah analogi kehidupan ini. Walau hebat manapun seseorang itu, walau setinggi manapun statusnya, dia tidak dapat lari daripada keperluan untuk mematuhi peraturan. Jika tidak, dia merisikokan dirinya kepada ‘kematian’ seperti matinya seekor katak!

Masyarakat kita di Malaysia sangat sensitif apabila berada di jalan raya. Pantang salah sedikit, pasti mudah melenting. Yang bagusnya, akan sentiasa ada yang menegur kesilapan si pemandu di jalan raya baik secara berhemah ataupun tidak. Ironinya segala tindakan refleks itu seolah-olah hilang begitu sahaja apabila berhadapan dengan orang yang melakukan maksiat dan kemungkaran. Adakah ketika itu dengan tiba-tiba ‘axon’ dan ‘dendrites’ nya mengalami kerosakan? Saya pun tidak pasti.

Alangkah baiknya, jika tahap sensitiviti yang sama, wujud apabila ternampak seorang Muslim yang lain ‘tersilap lorong’. Sensitiviti yang sama apabila Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam dihina. Sensitiviti yang sama apabila melihat umat Islam serata dunia ditindas. Malang, sangat sedikit sekali insan yang sensitif dengan isu-isu sebegini. Kalau adapun sensitif, sensitifnya itu bermusim macam negara empat musim. Sensitifnya menampakkan kedunguannya dalam mengatasi masalah ummah. (Maaf, sedikit kasar bunyinya.)

Yalah, apa tidaknya, adakah BIJAK jika dia hanya berdemonstrasi betapa cintanya dia kepada Yang Maha Esa dan Habibullah di dinding-dinding mukabuku dan di tepi-tepi jalan? Sedangkan pada masa yang sama, di celah jarinya tersepit Pak Cik Salem yang ‘hot’, lidahnya ‘berzikir’ Oppa Gangnam tanpa henti, matanya begitu ‘menikmati’ keindahan ciptaan Tuhan pada susuk tubuh Adam dan Hawa di depan mata. Adakah itu namanya CINTA kepada Yang Maha Esa??? Adakah itu dikira sensitif pada agama?

Bleh blah lah luuu!!!…

“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah tuhan selain Allah sebagai tandingan, yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah…” – [Surah AlBaqarah 2: 165]

##################################################

Dalam kehidupan ini, kita memerlukan manual dan peraturan yang sesuai dengan fitrah kita samalah sepertimana perlunya sebuah kereta mewah pada penggunaan yang berdasarkan manual pengeluar dan mematuhi peraturan jalan raya agar tidak rosak. Manusia telah dianugerahkan Allah dengan fitrahnya yang mampu membezakan antara kebaikan dan kejahatan, maka hendaklah dia sentiasa memelihara dirinya daripada didihan api neraka dengan mengikuti panduan yang tidak ada kebengkokan dan sebarang keraguan padanya (Al-Quran).

“Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya. Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Pasti berjaya orang yang menyucikannya (jiwa itu). Dan pasti rugi orang yang mengotorinya.” – [Surah AsSyams 91: 7-10]

 

“Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan Kitab (Al-Quran) kepada hambaNya dan tidak menjadikannya bengkok. Sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan tentang seksa yang sangat pedih dari sisiNya dan memberikan khabar gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan kebajikan bahawa mereka akan mendapat balasan yang baik.” – [Surah AlKahfi 18: 1-2]

 

Kesimpulannya, solusi kepada permasalahan (sikap pentingkan diri dan ‘Aku lebih baik daripada kau’) ialah:-

1. Memperbanyak tadabbur Al-Quran.

2. Berlapang dada apabila ditegur dan dinasihati.

3. Meletakkan sikap sensitif pada tempatnya.

4. Saling menasihati antara satu sama lain ke arah kebaikan.

5. Buat ‘checklist’ imaan sebelum tidur. (Jangan perasan diri kau SUCI!)

“…Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui tentang orang yang bertakwa.”– [Surah anNajm 53: 32]

Ciri Peribadi Seorang Muslim

Credits

 

Wallahua’lam.

Ini Cerita Kera Beriman

Di bawah satu pohon kelapa, Man si pengembala sedang  baring berehat di atas buaian jaring yang diikat pada batang pokok. Sang suria mula menampakkan sinarnya. Sayup-sayup kedengaran bunyi kicauan burung.  Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa begitu mengasyikkan. Tiba-tiba…

Gedebuukk!!!…

Seekor kera terjatuh ke atas tanah, terlepas gayutannya dari pelepah pokok kelapa. Barangkali kerana terlalu asyik dibuai angin agaknya.

Man yang dari tadi memerhati gerak-geri kera itu, tersengih seorang diri. Begitulah juga dengan manusia ini. Jika iman itu tidak diuji dengan ‘angin kencang’, ia akan jatuh menjunam hingga terlepas pegangannya dari tali agama Allah. Iman yang  hanya diuji dengan ‘angin sepoi-sepoi bahasa’, akan mudah terleka seperti lekanya seekor kera yang dibuai angin. Akhirnya terlepas pegangannya dari pelepah kelapa.

“Adakah patut manusia itu dibiarkan berkata, “Kami beriman.” sedangkan mereka masih belum diuji (dengan sebarang ujian)?”  – Surah Al-Ankabut: 2

Dalam pada kita sedang bermujahadah berusaha mendekatkan diri kepada Allah, kita mungkin terlepas pandang satu aspek. Iaitu membezakan antara proses dan matlamat. Mungkin hari ini, ketika begitu ramai golongan artis di Malaysia mula berhijrah kembali kepada fitrah, kita juga terdetik untuk mula mendekati Allah. Tetapi jangan sampai Islam itu hanya dirasakan sebagai suatu trend atau budaya hingga menyebabkan hilangnya kemanisan iman.

Ramai orang menyangka, yang solat cukup 5 waktu itu baik. Yang tutup aurat itu baik. Yang pergi haji itu baik. Yang hafaz 30 juzu’ Al-Qur’an juga baik. Sedangkan itu bukanlah PETANDA BAIK!

Kenapa?

Sebab dalam realiti kehidupan, ramai sahaja orang yang solat tetapi butir bicaranya penuh nista dan sesat. Pergi haji berkali-kali tetapi di pejabat dialah ketua segala korupsi. Hebat menghafaz Al-Quran tetapi melihat perangainya sahaja sudah cukup memualkan. Apakah ini “petanda baik” untuk ummat?

Tidak sama sekali! Kadang-kadang kita ‘terperangkap’ dalam perjalanan proses melaksanakan syari’at sehingga seolah-olah itu yang menjadi matlamat. Bukalah mata hati, dan fahamilah…

Solat, zakat, puasa dan haji bukan bukti kita muslim yang sejati tetapi itu adalah PROSES untuk kita membentuk diri menjadi muslim sejati. Matlamat kita sebenar adalah redha Allah, menjadi hamba Allah yang memberi banyak manfaat kepada masyarakat. “Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain.” – (Hadith riwayat Al-Baihaqi, Sahih Al-Jami’ Al-Shaghir wa Ziyadatihi, al-Maktab al-Islami, cetakan ke-3, Beirut, 1408H, no: 3289)

Kesimpulannya, jagalah iman kita sebaik-baiknya kerana tiada nikmat yang lebih berharga daripada nikmat menjadi seorang muslim yang beriman. Kemanisan iman itu tidak ada tolok bandingnya. Harta dan jiwa kita akan dibeli oleh Allah dengan bayaran syurga yang indahnya tidak mampu dibayangkan oleh sesiapa pun.  Orang muda-muda kata, “Aku tengok pun speechless!”. Jangan jadi seperti kera yang dibuai angin. Kencang angin, kuatlah pegangan gayutannya, sebaliknya jika angin itu bertiup sepoi-sepoi, dia terleka lalu terjatuh ke tanah.

“Dan sesungguhnya kami isikan neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” – Surah Al-‘Araf 7: 179

Wallahua’lam.

RUJUKAN:

i. Movie Sang Murabbi (Indonesia)

ii. http://www.utem.edu.my/pusatislam/index.php?option=com_content&task=view&id=109&Itemid=143

iii.  http://i284.photobucket.com/albums/ll12/ancanugie/kera.jpg

IBRAH 2: Syirik Zaman Millenium

And [mention, O Muhammad], when Luqman said to his son while he was instructing him, “O my son, do not associate [anything] with Allah . Indeed, association [with him] is great injustice.” 

Percaya atau tidak, walaupun surah Luqman ini diturunkan ketika masyarakat Arab jahiliyyah masih mengamalkan ajaran nenek moyang mereka – menyembah berhala; syirik yang dikatakan itu masih wujud hingga ke zaman iPhone dan iPad ini.  Mungkinlah ia tidak seketara 1400 tahun dahulu, tetapi kesannya masih tetap sama dahsyatnya. “…Sesungguhnya mensyirikkan Allah itu adalah kezaliman yang besar!”

“Kau rapat-rapatlah sikit dengan Tan Sri tu. Mana tau besok-besok senang sikit dapat projek. Jolok-jolok ler sikit. Kau kan pandai bodek. Tan Sri tu lubuk emas, kau jangan tak tau.”

“Tapi aku tak berapa suka ler dengan perangai kaki perempuan dia tu. Seteruk-teruk aku pun, aku tak main perempuan tau. Kuat merasuah plak tu.”

“Alah..itu lantak dialah. Yang penting engkau, masyuuk. Dalam business kita ni, dia nombor satu. Saham semua dia yang pegang. Kau jangan bendul sangat. Ini zaman millenium lah, bro. Semua mau pakai wang. Kalau kau tunjuk ‘alim sangat tak ke manalah.”

Itulah kata-kata yang mungkin sekali diucapkan oleh seorang manusia yang tidak yakin bahawa segala yang ada di langit dan di bumi adalah dalam genggamanNya. Dia berpendapat manusia yang memegang kunci pintu rezekinya sedangkan manusia itu sebenarnya hanyalah perantara.

Bukanlah ber-‘networking’ itu tidak penting, malah Rasulullah juga menggalakkan kita ber-‘networking’ (bersilaturrahim) kerana silaturrahim itu dapat memanjangkan umur dan memurahkan rezeki. Tetapi itu bukan lesen untuk kita meletakkan ‘keimanan’ kita kepada manusia yang juga sama lemahnya dengan kita.

Keyakinan yang seolah-olah ada makhluk lain yang ‘menongkat’ dunia sedangkan jika Allah tidak mengizinkan si makhluk itu menyuapkan nasi ke mulutnya, maka takkan mampu dia menyuapkan nasi itu sekalipun dia seorang raja mahupun Tan Sri! Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara, makhluk sememangnya tidak punya kuasa apa-apa.

Bergantung hanya kepada Allah ibarat bergantung pada dahan yang kukuh.

Lebih malang lagi apabila syirik yang dianggap mulia oleh sesetengah golongan itu membawa kezaliman yang lebih besar lagi. Secara tidak langsung, orang yang mensyirikkan Allah itu telah menyokong kezaliman bukan sahaja ke atas makhluk Allah yang lain tetapi kezaliman kepada dirinya sendiri kerana tidak meletakkan hak Allah pada tempatnya. Akhirnya, runtuhlah empayar agung yang dibina, binasalah diri yang bergantung pada manusia.

Penulisan ini bukanlah dibuat sesuka hati tanpa analisa terlebih dahulu. Akal yang dipandu dengan iman akan mampu melihat kebenaran dengan izin Allah. Cuba kita lihat berapa buah negara yang telah muflis atau cenderung ke arah itu akibat mensyirikkan Allah?  Akibat Terpedaya dengan ideologi kapitalisme.

Saya mengaku saya bukanlah orang yang layak untuk membincangkan isu ekonomi dunia dengan terperinci dan data ini telah saya ambil daripada http://www.thecomingdepression.net/countries/north-america/real-list-of-countries-on-verge-of-bankruptcy/#axzz1u8XgMarS   Ia masih boleh diperdebatkan kesahihannya. Walau bagaimanapun, mari kita ambil ia dari sisi positif untuk penelitian bersama.

Isu dan data yang sama turut dibahaskan oleh Dr. Zaharuddin Abd. Rahman, pakar kewangan Islam negara semasa Muktamar Kepimpinan Belia Islam Malaysia 2012 di Pusat Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebenarnya jika ingin dihubungkaitkan antara syirik dan kezaliman ini, ada banyak contoh yang hampir dengan kehidupan seharian kita yang boleh dijadikan pengajaran. Negara kita pun sekarang sedang terumbang – ambing ke arah yang sama. Mungkin sekali – sekala ada baiknya kita ditempelak dengan ayat:

“Afala tatafakkaruun”  [ Tidakkah kamu berfikir? ]

“Afala ta’qiluun” [ Tidakkah kamu menggunakan akal? ]

Sesungguhnya agama Islam ini hanya untuk orang yang mahu berfikir dengan akal dan iman. Jangan hanya pandai ber-retorik dengan mengatakan “Kembalilah kepada Al-Quran dan Sunnah.” tetapi fikirkan juga praktikalnya bagaimana agar manifesto yang dilaung-laungkan bukan sekadar omong kosong.

Wallahua’lam.

SUMBER:

1. Seminar Pembinaan Karakter berteraskan Surah Luqman anjuran Akademi Sinergi.

2. Muktamar Kepimpinan Belia Islam Malaysia 2012 anjuran WAMY Malaysia.

3.  http://www.all-quran.com/documents/holy_quran_translation.html

4. http://www.thecomingdepression.net/countries/north-america/real-list-of-countries-on-verge-of-bankruptcy/#axzz1u8XgMarS

ISLAM AGAMA ANTI-SEGALANYA

Islam bukan agama yang SEGALANYA HARAM. Anti itu dan anti ini. Sebaliknya Islam agama yang sangat indah dan mengikut fitrah. Sayang adakalanya umat Islam itu sendiri yang salah erti dengan Islam. Ini membuatkan Islam itu hanya kelihatan pada majlis-majlis tertentu, aspek-aspek tertentu tetapi tidak sebagai keseluruhan cara hidup.

Saya bukan seorang yang anti fesyen, bukan juga anti kemodenan. Malah saya adalah seorang yang cintakan pada kemodenan, kreativiti dan inovasi kerana saya bukan seorang pemikir stereotaip. Dalam pada itu, saya punya prinsip saya sendiri sebagai seorang muslim dan sebagai daie’. Bukankah Islam itu agama termoden, terhebat, dan tercantik? Perlukah kita pada model-model yang lain selain daripada Islam itu sendiri?

Tadi saya menonton satu rancangan televisyen tempatan berkenaan fesyen. Walaupun bukan minat saya, tetapi adakalanya penting juga untuk kita tonton subjek seperti ini buat ‘perencah’ borak di meja kopi bersama kawan-kawan yang belum sefikrah. Mungkin hari ini mereka tidak sefikrah dengan kita, mungkin esok siapa yang tahu?

Bila tengok rancangan fesyen tersebut, saya terfikir kenapa kita sibuk nak ikut  Barat dari sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecil perkara seperti etika makan dan berpakaian? Bukanlah ini bermaksud Islam menolak segala yang datang dari Barat tetapi cukuplah sekadar mengambil apa yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan ummah. Mungkin pernah terdetik di hati kita, “Ini baru dikira moden.” Beristighfarlah, adakah kita cuba mengatakan bahawa pakaian yang seksi, tidak menutup aurat itu moden? Dan yang mengikut syari’at itu kolot?

Kembalilah kepada sirah tamadun Islam. Sebelum kedatangan Islam bagaimanakah cara hidup di Timur dan di Barat? Islam yang membawa kemodenan sedangkan ketika itu Eropah masih mengalami Zaman Kegelapan. Bukankah Islam itulah yang paling moden?

Semalam saya ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Saya sangat tertarik dengan fesyen busana muslimah yang dijual di booth – booth jualan di situ. Saya sendiri membeli sehelai tudung fesyen terbaru yang boleh dijadikan 2 dalam 1 kerana jika dililit, ia akan membentuk tudung berfesyen dan jika dilepaskan lilitan boleh juga dijadikan telekung. Sangat cantik!

Fesyen Muslimah = Fesyen Termoden

Islam juga bukan anti muzik walaupun tentang muzik dan nyanyian ini terdapat pelbagai pendapat ulama’ tentangnya. Namun, bagi yang berpegang pada pendapat ulama’  yang mengatakan muzik dan nyanyian itu harus selagi tidak membawa kelalaian dan kesyirikan. Kerana hiburan itu fitrah manusia. Siapa kata orang Islam hanya boleh mendengar lagu nasyid yang mendayu, perlahan dan sedih sahaja rentaknya? Kalau nak dengar lagu rock, silakan. Kalau nak dengar hip hop, silakan. Kalau nak dengar K-Pop pun boleh, apa?

TETAPI…

Biarlah liriknya itu, mengingatkan kita kepada Allah. Menambahkan cinta kepada Rasulullah. Meneguhkan kita di jalan Allah. Menaikkan semangat jihad fi sabilillah.

BUKANNYA, yang mengagung-agungkan cinta murahan antara seorang lelaki dan perempuan yang tidak halal baginya. Bukan juga terkinja-kinja tak ingat dunia, seolah-olah hidup ini hanya untuk bermain-main sahaja.

INGATLAH, mati itu datang bila-bila masa. Allah menciptakan kita bukan dengan bermain-main kerana kita ini diciptakan untuk menjadi khalifahNya. Pemimpin di muka bumi yang menjalankan syari’atNya dengan bersungguh-sungguh.

Mungkin ada yang berbisik, “Hiburan Islam itu alternatif kita.” Ini bukan soal pilihan tetapi memang mahu atau tidak, Islam tetap nombor satu di hati kita. Pilihan UTAMA!

Secara peribadi, saya terkedu apabila membaca ayat Surah ToHa 20: 124 – 126,

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan pertunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

Dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya celik?”.

Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau mengabaikannya, dan demikianlah engkau pada hari ini diabaikan.”

Tiada yang lebih indah daripada bait-bait kata cintaNya. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami pada jalan yang Engkau redhai.

Celikkan mata hati kita. Islamnya kita bukan hanya pada kad pengenalan, tetapi Islamnya kita, Islam yang punya ‘izzah (rasa penuh bangga) kerana Allah telah menyempurnakan kita dengan Islam agama ANTI-SEGALANYA yang ‘membunuh’ fitrah, menjatuhkan maruah kita.

Berbanggalah hidup sebagai muslim!  ^_^

SUMBER FOTO: https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-snc6/281269_10150269047917605_38760492604_7799975_2790135_n.jpg